Pakatan Rakyat pura-pura sedih Anwar masuk penjara - Noorazli
Wan Syamsul Amly
Februari 11, 2015 17:45 MYT
Februari 11, 2015 17:45 MYT
Tidak sampai 24 jam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara, desas-desus Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai penggantinya oleh beberapa portal dilihat strategi terancang parti itu untuk menjatuhkan legasi kuasa Ketua Umum PKR itu.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said berkata, Pakatan Rakyat (PR) kini boleh disifatkan hanya berpura-pura 'berkabung' dan berlakon sedih jika beberapa nama pengganti Ketua Pembangkang sudah mula ditimbulkan sekarang.
"Ada yang kata Azmin akan ganti Anwar untuk jadi Ketua Pembangkang kerana perwatakannya dan ciri-ciri yang dikatakan Azmin adalah anak didik kesayangan Anwar.
"Namun saya lihat plot-plot ini sebenarnya sudah dirancang dari awal, Anwar masuk penjara, Azmin akan ganti...kesedihan Anwar masuk penjara hanya drama sementara mereka sahaja," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Kejadian ketika usia Saiful Bukhari 23 tahun pada masa itu didakwa berlaku di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, selepas membacakan keputusan selama hampir 2 jam.
Susulan itu, PKR telah menggariskan tiga langkah segera yang akan diambil susulan kegagalan Anwar mengenepikan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.
Beberapa portal dan laman blog juga sudah mula menyiarkan berita siapa pengganti Anwar sebagai Ketua Pembangkang selain desas-desus hangat nama Azmin bakal dinobat penyandang jawatan itu kurang 24 jam selepas Anwar dijatuhi hukuman penjara.
Dalam pada itu kata Noorazli, Azmin disifatkan sudah lama menanti saat Anwar dipenjarakan dengan catatan 'Alhamdulillah' di laman Twitternya sebelum keputusan Anwar disahkan dipenjara.
"Kenapa Azmin perlu bersyukur pada waktu Ketua Pembangkang itu sedang melalui waktu paling perit dalam hidupnya? Apakah perlu untuk mengucapkan 'Alhamdulillah' dan mencanang ke seluruh dunia melalui laman Twitter apabila ketuanya sendiri mahu masuk penjara?
"Memang Azmin sudah terbayang jawatan Anwar selepas ini, dalam masa terdekat mereka tunjukkan kesedihan dan simpati...kita tengoklah, minggu depan drama perebutan kuasa mereka akan bermula kembali dan ini dapat dilihat melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang akan diumum selepas ini.
"Siapa bakal calon di Permatang Pauh nanti, adakah legasi Anwar berterusan atau orang kuat Azmin?," jelasnya.