Pakatan pembangkang masih kabur - PM Najib

Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 16, 2017 16:19 MYT
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berseloroh bersama kedua-dua Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 hari ini. - Foto Bernama
Rakyat mampu menilai kerajaan yang mampu mencorak masa depan yang lebih terjamin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, berkata kestabilan dan keharmonian yang dikecapi hari ini adalah kerana rekod pemerintahan UMNO selama 60 tahun bersama Barisan Nasional (BN).
Tidak seperti pembangkang yang masih kabur dan tercari-cari hala tuju mengenai dasar penubuhan mereka.
"Kita meletakkan kepercayaan kita kepada struktur kepimpinan yang jelas hierarkinya jelas, kekuasaannya jelas, hala tujunya jelas dan kemampuannya jelas, jadi kalau dalam keadaan yang kabur tidak menentu..siapa yang sebenarnya kuasa penentu? Hala tuju dasar dan sebagainya.
"Banyak orang kata mereka ini meletakkan masa depan mereka dalam keadaan berisiko yang tinggi. Jadi sebagai rakyat biasa mengapa kita perlu berbuat demikian? Bila kita sedar bahawa kita ada UMNO ada Barisan Nasional yang kukuh, rekodnya yang sangat baik, walaupun ada sedikit sebanyak yang mereka tidak senang hati ataupun kelemahan, tetapi umumnya mengakui bahawa kita telah membawa negara kita ini ke tahap kejayaan yang boleh dibanggakan," katanya ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO di Dewan Tun Abdul Razak di sini hari ini.
Lebih 60 ribu anggota masyarakat dari pelbagai kaum hadir untuk turut sama memeriahkan majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Tambah perdana menteri, rakyat negara ini sudah bijak menilai sendiri tahap pencapaian kerajaan dan isu yang dibawa pembangkang. Malah kebanjiran begitu ramai masyarakat yang hadir pada majlis tersebut membuktikan penerimaan mereka terhadap kerajaan yang ada sekarang ini.
Malah katanya jika masyarakat tidak lagi menyokong UMNO selaku parti yang menunjangi kerajaan adalah mustahil mereka sanggup hadir dengan jumlah yang begitu besar pada majlis yang dianjurkan.
#Aidilfitri #Barisan Nasional #kerajaan #Najib Razak #pembangkang #Perdana Menteri #PM #UMNO #Zahid Hamidi
;