Pakatan pembangkang lemah dan longlai - Anina
Bernama
Januari 20, 2018 19:38 MYT
Januari 20, 2018 19:38 MYT
Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin, menggesa rakyat negara ini memilih kerajaan untuk generasi Malaysia pada masa depan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata rakyat juga keliru dengan permainan politik pakatan pembangkang.
"Hari ini rakyat keliru apabila calon perdana menteri pembangkang (Tun Dr Mahathir Mohamad) adalah orang yang (dikatakan) bertanggungjwab memenjarakan suami kepada calon timbalan perdana menteri pembangkang (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), jadi apakah wayang yang dimainkan mereka.
"Pembangkang juga tidak menawarkan sesuatu yang menarik untuk disokong, mereka menggambarkan kerajaan sekarang tidak baik, sedangkan mereka sendiri lemah dan longlai," katanya pada sidang media di majlis pelancaran Empirical Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baharu ditubuhkan, di sini hari ini.
Empirical Malaysia, yang didaftarkan pada Oktober tahun lepas, adalah kumpulan pendesak dalam membantu kerajaan membangunkan ekonomi Melayu dan bumiputera melalui kajian empirikal yang akan dijalankan bersama golongan profesional.
Anina, yang juga presiden NGO itu, berkata beliau mahu rakyat membuat penilaian tepat pada PRU14 dengan memilih parti poliitk yang mempunyai trek rekod yang baik dalam menjaga kebajikan rakyat.
"Jangan pilih pemimpin atas jasa atau sumbangan yang telah dilakukan pada sejarah yang lalu, tapi pilih kerajaan untuk generasi masa depan Malaysia,'' katanya.
-- BERNAMA
#Anina Saadudin
#Bumiputera
#calon
#ekonomi
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Melayu
#pembangkang
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#politik
#PPBM
#PRU14
#rakyat
#Wan Azizah Wan Ismail