Pakatan Harapan tidak tergugat
Sinar Harian
Julai 11, 2018 07:42 MYT
Julai 11, 2018 07:42 MYT
Pakatan Harapan (Harapan) dijangka tidak berdepan masalah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis walaupun berdepan pertembungan lebih daripada dua penjuru, 4 Ogos ini.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, PRK Sungai Kandis juga dilihat tidak akan memberi kesan besar kepada kepimpinan Harapan baik di peringkat negeri mahu pun persekutuan.
“Saya jangkakan Pas akan masuk (bertanding) juga, mungkin pertandingan tiga penjuru antara Harapan, Pas dan BN/UMNO, namun untuk melihat Harapan tewas di Sg Kandis adalah amat tipis.
“Pada PRU14 lalu, kita lihat mereka menang dengan jumlah undi yang begitu besar, hampir mustahil untuk pembangkang sama ada UMNO atau Pas untuk menghakis jumlah dan majoriti undi yang dimenangi Harapan sebelum ini.
“Apatah lagi Harapan sudah menjadi kerajaan pada hari ini dan saya percaya pengundi di Sungai Kandis akan mengekalkan sokongan kepada Harapan,” katanya kepada Sinar Harian.
Biarpun ada kemungkinan pertandingan dua penjuru, Jeniri menjelaskan ia masih sukar untuk memecahkan jumlah sokongan besar dimenangi Harapan pada PRU14, sekitar dua bulan lalu.
“Dalam tempoh singkat sejak PRU14 hingga hari ini, tiada faktor besar yang dilihat mampu untuk mewujudkan kemungkinan berlakunya peralihan sokongan yang drastik oleh pengundi,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berpandangan, pembangkang mempunyai lebih peluang untuk menang atau setidak-tidaknya memberikan saingan sengit jika situasi pertandingan dua penjuru berlaku.
Menurutnya, jika UMNO dan Pas mampu bekerjasama sebagai satu blok pembangkang, ia mampu mewujudkan peluang yang lebih besar memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai kekuatan tersendiri.
“Jika UMNO dan Pas mampu menjalinkan kerjasama sebagai pembangkang, ini akan membuatkan Harapan lebih berhati-hati dalam meletakkan calon kerusi Sungai Kandis.
“Walaupun Harapan memenangi dengan majoriti besar PRU14 lalu, namun itu lebih kepada gelombang perubahan menolak kerajaan BN.
“Malah, beberapa isu terkini seperti pengaruh LGBT, isu liberalisasi, isu berkaitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), isu mengenai raja-raja misalnya, saya kira boleh menjadi faktor peralihan sokongan pada PRK Sungai Kandis, khususnya dalam pertandingan dua penjuru,” katanya.
Ahmad Marthada berkata, biarpun komposisi penguasaan kerusi peringkat negeri tidak terjejas jika Harapan tewas di Sungai Kandis, namun setidak-tidaknya ia akan menambahkan keyakinan di pihak pembangkang dalam konteks semak dan imbang pentadbiran.
“Dari satu sisi, ia pasti akan memberikan lebih keyakinan kepada pembangkang dalam memainkan peranan mereka," katanya.
#Ahmad Martadha Mohamed
#dua penjuru
#Dun Sungai Kandis
#Jeniri Amir
#majoriti
#Pakatan Harapan
#PAS
#penganalisis
#pilihan raya kecil
#politik
#PRK
#PRK Sungai Kandis
#PRU14
#sungai kandis
#tiga penjuru
#UMNO
#undi