Pakatan Harapan terdesak 'guna' Nik Omar - Hadi Awang
Rahimah Abdullah
Mei 3, 2018 18:15 MYT
Mei 3, 2018 18:15 MYT
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan Pakatan Harapan (PH) menggunakan anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai satu tindakan yang terdesak.
Tegasnya, strategi politik Pas adalah jauh berbeza dengan PH yang banyak bergantung kepada individu untuk memancing undi pilihan raya.
"Itu menunjukkan mereka sangat terdesak, sangat terdesak kerana menggunakan anak pemimpin-pemimpin. Orang Pas ini dia tidak ikut pemimpin-pemimpin yang keluar daripada parti.
"Dulu pernah Haji Ahmad Fuad keluar, tetapi Pas makin maju. Datuk Asri pernah keluar, Pas terus berkembang. Ia menunjukkan Pas tidak mengikut dengan individu, apa lagi pemimpin asal Pas ini setia dengan perjuangan," katanya melalui Facebook Live di Restoran Warung Kita, Kampung Melayu Sungai Buloh.
Abdul Hadi yakin setiap individu yang menjadi ahli Pas akan kekal setia dengan parti itu.
"Orang Pas dia mengikut parti, bukan orang. Kalau orang itu (orang lain) pindah parti, dia tetap dengan parti itu juga. Kita berjaya mendidik orang Pas di seluruh negara," kata beliau.
Tegasnya lagi, penyertaan anak Allahyarham Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz itu tidak sedikit pun menjejaskan kekuatan Pas di Kelantan.
"Apa yang berlaku sekarang tidak akan menumbangkan Kerajaan Kelantan kerana akar umbi kita sangat kukuh di Kelantan," jelas beliau.
Anak kedua Allahyarham Datuk Nik Aziz itu semasa hari penamaan calon Sabtu lalu membuat kejutan apabila muncul menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu ditanya siapa calon Menteri Besar Selangor jika Pas berjaya menawan negeri itu, ini jawapan beliau:
"Kita tidak mahu menamakan anak sebelum dilahirkan. Biar anak lahir dulu baru kita beri nama. Kita mesti menang dulu baru kita boleh tentukan siapa (MB Selangor)," ujarnya.
#Abdul Hadi Awang
#anak
#calon
#guru
#Haji
#kerajaan
#Media
#Melayu
#menteri
#Menteri Besar
#Nik Aziz
#Pakatan Harapan
#PAS
#politik
#presiden