Pakatan Harapan seperti sebuah 'keluarga songsang' - Syed Ali

Astro Awani
Januari 31, 2017 15:14 MYT
SYED ALI: Pakatan Harapan diibaratkan sebuah 'keluarga songsang' kerana tidak ada persafahaman bersabit kerjasama menjelang PRU ke-14. - Gambar fail
Pakatan Harapan diibaratkan sebuah 'keluarga songsang' kerana di kalangan parti-parti pembangkang tidak ada persafahaman bersabit kerjasama politik dan pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Menurut Ketua UMNNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, keluarga songsang seperti Pakatan Harapan itu hanya ingin menonjolkan diri masing-masing sebagai jaguh mewakili kaum dan kumpulan tertentu.
"Mereka masih bercakaran, bertelagah dan bertikam lidah sesama sendiri untuk memutuskan persefahaman yang ternyata amat sukar dibentuk menjelang PRU akan datang," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Beliau menambah Pakatan Harapan membabitkan DAP, PKR, AMANAH dan PPBM dilihat sebagai pakatan yang terlalu rapuh dan tidak terjalin atas semangat keikhlasan.
"Oleh sebab itu, Pas mengambil pendirian tegas untuk tidak menyertai keluarga songsang Pakatan Harapan kerana parti itu tidak yakin dengan ketelusan blok pembangkang.
"Pas barangkali merasakan diri mereka tidak perlu untuk dijadikan perkakas oleh DAP untuk kali kedua," tegasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mempersoalkan bagaimana keluarga songsang seperti itu mampu mentadbir urus negara dengan baik jika diberikan peluang memenangi PRU akan datang.
"Rumah tangga mereka pun berantakan dan tidak kukuh, inikan pula untuk mentadbir negara," tegasnya sambil menambah rakyat tidak perlu mempertaruhkan masa depan mereka dengan mempercayai dongeng politik pembangkang.
Mengulas lanjut istilah 'keluarga songsang' itu, Syed Ali berkata awal-awal lagi di kalangan mereka sudah mempunyai bayangan untuk menduduki kerusi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Jelasnya lagi, ada yang sudah mengidam untuk menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri namun kemudian menafikan apabila rahsia itu tersebar menerusi media sosial.
"Pembahagian kerusi pilihan raya membabitkan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga mencetuskan perbalahan di kalangan mereka.
"Masing-masing mahu bertanding di kawasan selamat dan AMANAH contohnya berkeras untuk bertanding majoriti kerusi di Kelantan.
"Inilah antara percakaran dalam Pakatan Harapan yang langsung tidak konsisten untuk membela rakyat, hanya memikirkan jawatan dan agenda masing-masing," tegasnya.
Bagaimanapu jelas beliau, rakyat semestinya tidak akan menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada pakatan tersebut.
"Keluarga songsang Pakatan Harapan sekadar gabungan segera yang matlamatnya untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menawan Putrajaya.
"Pakatan Harapan tidak ada agenda untuk memlihara kepentingan rakyat dan masa depan negara," katanya.
Justeru Syed Ali mahu rakyat menilai dan melihat secara rasional kepada kewajaran untuk mereka memberikan sokongan kepada blok pembangkang.
"Rakyat kena tengok apa sebenarnya agenda mereka, belum lagi memerintah di kalangan mereka sudah bercakaran sesama sendiri," ujarnya.
Mengenai kemungkinan berlaku pertandigan tiga penjuru akibat daripada pertelingkahan sesama pembangkang, Syed Ali menjelaskan ia tidak memberi masaalah kepada UMNO dan BN.
"Sama ada dua atau tiga pejuru bukan masalah kepada BN kerana situasi seperti itu sudah biasa dihadapi.
"Keyakinan kita BN akan memperolehi kemenangan lebih cemerlang kerana rakyat menaruh keyakinan tinggi terhadap kerajaan yang memerintah sekarang," tegasnya yang juga Bendahari BN Wilayah Persekutuan.
#Amanah #DAP #Datuk Seri Syed Ali Alhabshee #PKR #PRU