Pakatan Harapan perlukan 'formula ajaib' di Rantau

Rahimah Abdullah
April 8, 2019 22:43 MYT
PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PH dan dua calon Bebas. - Bernama
Pakatan Harapan memerlukan ‘formula ajaib’ bagi memastikan kemenangan calonnya, Dr. S.Streram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 13 April ini.
Menurut Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, kempen berbaki beberapa hari perlu dimanfaatkan sepenuhnya PH dalam menghadapi politik personaliti yang ketika ini memberi kelebihan kepada Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Masa masih lagi panjang, mungkin ada formula ajaib yang akan digunakan PH untuk menyaingi parti lawannya BN.
"Sebab kalau kita melihat keseluruhan, yang pertama saya lihat dari segi perang poster dan bunting, kita lihat BN lebih ke depan. Kalau populariti, Tok Mat (Mohamad Hasan) ada kelebihan sebab pernah menjadi wakil rakyat dan dikenali ramai jadi dengan ini setakat ini BN berada di hadapan.
"Namun situasi ini boleh berubah berdasarkan sentimen semasa atau isu yang dicetuskan dua tiga hari sebelum hari mengundi,” katanya kepada Astro AWANI di Bandar Sri Sendayan, Rantau.
Ujarnya, Mohamad menggunakan politik personaliti untuk menyantuni pengundi di Rantau yang menyaksikan beliau ternyata masih popular kerana sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat di Rantau dan pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Namun kalau kita lihat pada sumbangan, Tok Mat mempunyai kelebihan. Streram belum lagi dapat membuktikan sumbangan beliau; beliau belum pernah menjadi wakil rakyat.
"Kedua, komunikasi perhubungan dengan pengundi masih kurang namun masih boleh dibaiki selepas ini. Ini merupakan satu cabaran kepada Dr Streram untuk membaiki komunikasi semasa berkempen,” kata beliau.
Namun katanya, apa sahaja boleh berlaku pada saat-saat akhir kempen dan tidak mustahil boleh mempengaruhi pengundi.
Justeru katanya, sokongan pemimpin PH seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim diperlukan dalam membantu menguatkan personaliti Dr. Streram.
“Kalau kita lihat dan melihat kempen Rantau banyak poster yang meletakkan tiga foto termasuk Anwar. Sedangkan pada Tok Mat foto beliau adalah berseorangan.
"Ini bermakna, PH memerlukan usaha kempen yang banyak sebab mereka memerlukan tokoh lain untuk membantu melengkapkan kekuatan personaliti calon PH.
"Foto Tun Mahathir, Anwar jadi ketiga-tiga melawan satu. Ia menunjukkan Dr. Streram ini memerlukan penyokong yang kuat di kiri dan kanan dia untuk menentang Tok Mat,” ujarnya.
Menyentuh mengenai isu yang dibangkitkan di Rantau, penduduk tempatan dilihat menumpukan kepada perkara yang menyentuh kehidupan harian mereka.
“Memang Isu nasional ialah isu yang besar. Yang berlaku di Felda dan sebagainya. Namun akhirnya ia berbalik kepada bread and butter rakyat kehidupan seharian isu memberikan mereka makanan seharian dan memberikan selesa dan tidak dibelenggu hutang dan komitmen dan sesuatu yang mereka rasa tidak selesa dari segi kupasan hidup mereka rasa tertekan,” kata beliau lagi.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Dr. Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH); Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan dua lagi calon bebas iaitu Malarvizhi Rajaram dan Mohd Nor Yassin.
#Awang Azman Awang Pawi #Barisan Nasional #BN #Dr S Streram #Mohamad Hasan #Pakatan Harapan #penganalisis #PH #pilihan raya kecil #Politik Malaysia #PRK DUN Rantau #prk rantau
;