Pakatan Harapan: Netizen persoal harapan baru parti
Kohilah Sekaran
September 23, 2015 09:50 MYT
September 23, 2015 09:50 MYT
Susulan pengumuman penubuhan Pakatan Harapan yang dianggotai tiga parti pembangkang iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), warga media sosial tidak ketinggalan melahirkan pandangan mereka terhadap isu politik yang terbaru ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengumumkan perkara tersebut dalam satu sidang media selepas mengetuai Persidangan Meja Bulat bagi membincangkan pembentukan pakatan pembangkang baru, di Hotel Empire, pada Selasa.
Pakatan Harapan turut mengumumkan untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tindakan itu mendapat reaksi negatif di kalangan netizen.
Menurut mereka, pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri merupakan satu pilihan yang tidak sesuai kerana perkara itu boleh mengundang pelbagai persepsi.
Bagi mereka, jika kekecohan dalam parti sendiri tidak dapat diselesaikan, ia boleh menimbulkan keraguan rakyat terhadap tanggungjawab mereka dalam menyelesaikan masalah negara.
Namun, ada juga di kalangan netizen yang berharap agar Pakatan Harapan akan kekal kuat demi merealisasikan impian rakyat.