Pakatan Harapan menginsafi suara penduduk Semenyih - Azmin Ali

Najib Aroff
Mac 3, 2019 18:35 MYT
MOHAMED AZMIN: Kerajaan akan segera mengambil inisiatif meringankan beban ekonomi rakyat termasuk melalui Majlis Tindakan Ekonomi. -Gambar fail/Bernama
Pakatan Harapan (PH) akan segara menggarap mesej pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan menginsafi suara rakyat.
Menurut Naib Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kerajaan PH akan terus menjiwai sentimen yang dizahirkan rakyat dan komited untuk mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu-isu yang membelenggu rakyat.
“Keputusan Pilihan Raya Kecil Semenyih semalam menyaksikan keputusan rakyat dengan mesej yang jelas.
“Keputusan ini adalah tuntutan rakyat akar umbi agar Kerajaan Pakatan Harapan segera bertindak menyelesaikan masalah dan kebajikan rakyat tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak.
“Kita harus bertindak secara kolektif dalam satu semangat untuk melaksanakan agenda reformasi dan pembangunan untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, menurut Azmin, kerajaan akan segera mengambil inisiatif meringankan beban ekonomi rakyat termasuk melalui Majlis Tindakan Ekonomi yang akan berusaha mengurangkan kos sara hidup, memperkukuh pendapatan rakyat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan tahap pemilikan rumah.
“Pakatan Harapan juga akan menggandakan usaha melaksana perubahan sehingga menjadi sumber kekuatan rakyat.
“Kita harus berani dan tidak gundah-gulana untuk segera melaksanakan janji-janji khususnya kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang merupakan bagian integral daripada agenda nasional,” katanya.
#Azmin Ali #BN Rampas DUN Semenyih #Bumiputera #Datuk Seri Mohamed Azmin Ali #DUN Semenyih #Pakatan Harapan #PH kalah di Semenyih #pilihan raya kecil
;