Pakatan Harapan gagal selesai pertikaian, gambaran mereka tidak sepakat
Bernama
Februari 3, 2018 05:04 MYT
Februari 3, 2018 05:04 MYT
Sikap Pakatan Harapan Selangor yang tidak sepakat serta saling bercakaran terutamanya dalam menentukan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menggambarkan mereka masih gagal menyelesaikan pertikaian sesama sendiri.
Anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata ketidaksepakatan itu dilihat menjadi lebih kritikal sejak Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dicalonkan sebagai perdana menteri sementara Pakatan.
Sikap saling menuduh dan rasa tidak puas hati dalam kalangan sekutu pembangkang menyebabkan pakatan itu sering dilihat 'kalut' dalam mencari penyelesaian berkaitan sebarang isu.
Merujuk kepada kenyataan Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim yang dilapor menyebut bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak layak menjadi pemimpin berikutan kegagalannya menangani isu membabitkan pengagihan kerusi PRU14 di negeri itu, Irmohizam berkata ia mungkin ada benarnya.
"Ini menunjukkan Mohamed Azmin bukan sahaja gagal sebagai seorang menteri besar tetapi gagal mencatur persefahaman pakatan tersebut selaku Pengerusi PH Selangor," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Semalam, Izham dilaporkan berkata bahawa sehingga kini mesyuarat pembahagian kerusi di negeri itu belum bermula apabila tempoh akhir pembahagian peringkat negeri sepatutnya dimuktamadkan semalam dilanjutkan hingga Rabu ini.
Izham turut menyatakan tuntutan mereka agar satu jawatankuasa khas dibentuk untuk pembahagian kerusi tidak diendahkan oleh Mohamed Azmin.
Baru-baru ini, Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Jamzuri Ardani dilapor menyatakan Mohamed Azmin cuba melengah-lengahkan usaha pengagihan kerusi DUN bagi menghadapi PRU14.
-- BERNAMA
#Anggota Parlimen Kuala Selangor
#Irmohizam Ibrahim
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#Pakatan Harapan Selangor
#pembahagian kerusi
#pilihan raya umum
#PPBM
#PRU14
#Selangor