Pakatan Harapan banyak bertindak ikut lunas Islam - Muhyiddin

Firdaus Azil
November 8, 2019 04:43 MYT
Muhyiddin berucap pada Majlis Makan Malam bersama Persatuan-Persatuan Cina di Dewan Hai Kee Taman Kota Emas di Pontian malam tadi. --fotoBERNAMA
Dakwaan bahawa Islam akan tergugat di bawah pemerintahan Pakatan Harapan adalah tidak tepat sama sekali, tegas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebaliknya, kata beliau, banyak perkara yang dilakukan pakatan itu, adalah berlandaskan lunas-lunas ajaran Islam.
“Seperkara saya dengar, ini antara yang juga dituduh pihak parti pembangkang. Dia nak menakut nakutkan orang Melayu Islam. Apa dia kata? Bahawa Kerajaan Pakatan Harapan ini sebenarnya tak boleh, dan tak mampu pertahankan Islam sebagai Agama Persekutuan negara kita ini.
“Kalau saya nak sebutkan, jawapannya sudah pasti tidak. Kerana hari ini kita sedar banyak usaha dibuat oleh pihak Pakatan Harapan, cuma tak sebut saja Islam.
"Kalau Pas berkempen pada malam ini dia parti Islam. Kita tak sebut parti kita parti islam, tapi tindakan yang telah sedang kita ambil berlunaskan (ajaran) Islam,” katanya lagi.
Muhyiddin, yang juga Pengerusi Bersatu Johor, berkata demikian ketika memberi ceramah di Pusat Daerah Mengundi Tenggayun, sempena kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, malam tadi.
Tindakan itu, jelas beliau, seperti usaha memerangi gejala rasuah, termasuk mewujudkan Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Usaha untuk memerangi rasuah dalam negara kita…dia tak sebut Islam dekat situ. Tetapi Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk membanteras rasuah sampai ke akar umbi.
“Saya tak lihat pembangkang ada menyarankan kita untuk membanteras rasuah. Tetapi kami dalam Pakatan Harapan, baik menteri, timbalan menteri, malah ahli parlimen, sentiasa komited dalam menentukan barah seperti rasuah ini tidak akan berleluasa,” katanya lagi.
#Bersatu #Islam #kerajaan #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #parti Islam #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #pembangkang #pilihan raya kecil #Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai #Rasuah #Tanjung Piai
;