Pakatan Harapan amal politik terdesak undang campur tangan asing
Bernama
Januari 28, 2018 05:35 MYT
Januari 28, 2018 05:35 MYT
Pertemuan Pakatan Harapan dengan duta-duta besar Kesatuan Eropah (EU) merupakan amalan politik terdesak dan sempit kerana ia mengundang campur tangan dan tekanan kuasa asing ke atas nilai-nilai serta prinsip amalan demokraksi yang diamalkan oleh rakyat Malaysia.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pertemuan itu jelas menjejaskan usaha-usaha kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan dan imej negara termasuk dalam mempertahankan industri kelapa sawit negara yang boleh memberikan kesan langsung terhadap ratusan ribu pekebun kecil yang bergantung kepada industri ini untuk kehidupan harian mereka.
Mengulas pertemuan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dengan 16 duta besar EU di Kuala Lumpur pada Rabu lalu, beliau berkata politik sempit PH telah merumitkan strategi dan dasar kerajaan untuk membela rakyat negara ini.
"Dalam pertemuan itu, PH membangkitkan isu-isu berhubung pentadbiran negara serta meminta campur tangan negara asing dalam negara kita dalam masa negara diiktiraf dan disanjung di persada dunia serta momentum pertumbuhan ekonomi sedang kukuh.
"Politik PH yang mengundang penglibatan luar mempamerkan niat sebenar mereka (pembangkang) yang membelakangkan kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Sebagai sebuah negara demokratik dan bebas, Anifah berkata Malaysia tidak menghalang Duta-Duta Besar asing mengamalkan amalan diplomatik antarabangsa, selari dengan norma-norma dan nilai-nilai yang termaktub dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.
"Kita difahamkan bukanlah menjadi hasrat Duta-Duta Besar EU untuk mendengar tuduhan-tuduhan negatif Pakatan Harapan terhadap Kerajaan, namun tindakan PH yang berusaha melibatkan kuasa asing, adalah satu tindakan yang amat tidak patriotik dan meremehkan maruah negara bangsa kita," katanya.
Beliau berkata ini merupakan satu lagi helah dan hipokrasi yang menjadi teras politik Dr Mahathir yang nyata telah membelakangkan kepentingan negara dan rakyat demi untuk meraih kuasa.
Menurut Anifah, ketika menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir merupakan seorang yang amat kritis terhadap negara-negara Barat.
Dalam pada itu, Anifah menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak dalam membela hak rakyat dan kedaulatan serta maruah negara untuk mengambil tindakan tegas yang sewajarnya ke atas mana-mana pihak asing yang melanggar norma-norma dan nilai-nilai yang termaktub dalam konvensyen tersebut.
Katanya, tindakan sengaja meremehkan strategi Kerajaan haruslah menjadi satu kejutan akan siapa sebenarnya yang menjulang dan mempertahankan hak serta martabat dan kedaulatan negara.
-- BERNAMA