Pakatan dalam keadaan bercelaru - Musa Aman

Bernama
Januari 8, 2018 04:21 MYT
Musa berkata langkah mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya mencerminkan sikap Pakatan yang tidak berpandangan jauh. Astro AWANI / FIRDAUS AZIL / Fail
Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata penolakan PKR Selangor terhadap keputusan Pakatan Harapan mencalonkan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri menunjukkan dengan jelas pembangkang berada dalam keadaan bercelaru.
Katanya tindakan mencalonkan Dr Mahathir untuk kembali menjadi perdana menteri bertentangan dengan slogan 'Reformasi' yang terus dilaung beberapa penyokong PKR pada konvensyen Pakatan semalam.
"Jelas sekali, beberapa penyokong PKR masih berpegang teguh dengan 'Reformasi', yang diperjuangkan sebaik sahaja Tun Mahathir menyingkirkan dan menyumbat ketuanya (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ke dalam penjara hampir 20 tahun lepas," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Musa berkata langkah mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya mencerminkan sikap Pakatan yang tidak berpandangan jauh.
"Apa sudah jadi dengan cakap berdegar-degar tentang perubahan? Singkir yang lama, ambil yang baharu.
"Nampaknya, Pakatan menggunakan peta yang sama untuk melakar laluannya ke Putrajaya," kata beliau.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #calon #Ketua Menteri #Mahathir Mohamad #Musa Aman #Pakatan Harapan #pembangkang #penjara #Perdana Menteri #PKR #PPBM #Putrajaya #reformasi #Wan Azizah Wan Ismail
;