Pakatan baharu: Apakah jaminan ia tak akan terkubur juga?
Mariah Ahmad
Jun 23, 2015 17:51 MYT
Jun 23, 2015 17:51 MYT
Cadangan untuk mewujudkan pakatan politik baharu adalah bukan satu perkara yang luar biasa, malah ia dilakukan atas keinginan survival sesebuah parti itu sendiri, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan.
Menurut beliau, bagi menjamin pakatan baharu ini tidak terkubur seperti apa yang berlaku kepada Pakatan Rakyat (PR) baru-baru ini, ia perlu dilihat sebagai sebuah pakatan yang tidak bersifat ‘ad hoc’ (bukan sesuatu perkara yang dilakukan untuk tujuan tertentu tanpa perancangan awal) semata-mata.
“Kelemahan yang ada dalam PR sekarang atau sebelum ini ialah, tidak ada satu agenda yang ditandatangani sewajarnya oleh semua parti.
“Kalau mahu pastikan kesinambungan dan kekuatan daripada parti-parti komponen, amat penting untuk ada perjanjian yang benar-benar jelas dimeterai bersama.
“Apa yang ingin diperjuangkan oleh pakatan tersebut tidak boleh bersifat ad hoc. Bila nak dekat pilihan raya baru mahu tubuhkan...nanti ada satu isu kita tidak bersama. Tidak boleh macam tu.
"Ia sepatutnya ada satu agenda lebih besar, di mana perlu ada satu perjanjian pakatan," jelas beliau dalam satu temu bual bersama Astro AWANI hari ini.
"Kerajaan UK kini adalah sebuah kerajaan berbentuk pakatan antara konservatif dan demokrasi liberal. Mereka ada perjanjian persefahaman yang bertulis dan boleh disaksikan oleh semua orang.
"Perjanjian ini merangkumi semua perkara yang diperjuangkan oleh pakatan tersebut, dan itu yang sepatutnya dibuat oleh pakatan baharu sekarang," jelas beliau.
Menurutnya lagi, walaupun perjanjian perjuangan bersama itu telah dimeterai, parti-parti komponen juga bebas untuk mempunyai pandangan yang berbeza sambil menjalankan agenda-agenda tersendiri.
"Di luar daripada perjanjian itu, parti-parti komponen sepatutnya bebas berbeza pandangan, jadi tiada masalah sekiranya parti A nak buat agenda A, parti B nak buat agenda B. Namun pada masa yang sama, semua parti A dan parti B perlu bersetuju untuk memperjuangkan agenda C.
"Saya rasa tidak begitu realistik kalau sekiranya kita mengharapkan bahawa tidak ada perbezaan langsung, kalau tidak ada perbezaan, baik jadi satu parti sahaja," tambah beliau.
Sebelum ini pemimpin DAP, Lim Kit Siang berkata satu pakatan baharu perlu ditubuhkan bagi menyelamatkan politik negara ini selepas terkuburnya PR.
Ini kerana, beliau melihat harapan dan mandat rakyat yang diberi semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu perlu diteruskan sekaligus dilaksanakan pada PRU14 yang dijangka berlangsung pada 2017.