Pairin tidak akan pertahan jawatan Presiden PBS
Bernama
Julai 1, 2018 21:27 MYT
Julai 1, 2018 21:27 MYT
Pengasas dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan PBS yang akan datang.
Beliau yang merupakan "Huguan Siou" atau Pemimpin Agung kepada masyarakat Kadasandusun Murut itu berkata keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan presiden itu adalah untuk kebaikan parti yang kini berusia 33 tahun itu.
"Saya tidak akan mempertahankan kedudukan saya sebagai Presiden. Majlis Tertinggi telah melantik Datuk Seri Dr Maximus Ongkili untuk menjalankan tugas presiden.
Saya yakin dia mempunyai kualiti dan pengalaman untuk memimpin PBS ke era seterusnya. Saya menyeru semua pemimpin PBS untuk memberi sokongan penuh kepada Maximus," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Pairin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Tambunan kalah kepada adiknya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).-- BERNAMA