P. Pinang terbuka adakan PRN serentak

Bernama
November 23, 2022 07:05 MYT
Kerajaan Pulau Pinang terbuka untuk berbincang dengan Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Selangor sama ada DUN boleh dibubarkan serentak, bagi memberi laluan kepada PRN diadakan bersama, kata Chow Kon Yeow. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang terbuka untuk berbincang dengan Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Selangor sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dibubarkan serentak, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan bersama.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mengikut Perlembagaan, DUN Pulau Pinang akan tamat pada 2 Ogos 2023 dan PRN perlu diadakan dalam 60 hari selepas itu.
"Bagaimanapun, isu ini akan diserahkan kepada majlis pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebab ia juga melibatkan dua negeri PH yang lain iaitu Selangor dan Negeri Sembilan, manakala negeri yang di bawah Pas mungkin ada pertimbangan mereka.
"Kita terbuka untuk rundingan jika semua negeri ini setuju, maka boleh diadakan pada tarikh yang sama. Tapi terpulang kepada PH dan PN (Perikatan Nasional) untuk tentukannya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, tempoh tamat DUN Pulau Pinang mengikut Perlembagaan adalah lima tahun bermula dari tarikh pertama DUN bersidang selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, maka DUN akan terbubar sendiri sebab sudah genap lima tahun.
Sebelum ini, Majlis Presiden PH mengambil keputusan untuk tidak membubarkan Dewan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala Pas turut tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu, dan Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). - BERNAMA
#pilihan raya negeri #pulau pinang #DUN Pulau Pinang #Chow Kon Yeow