Orang Melayu menolak pemimpin, bukan parti - Ketua UMNO Simpang Renggam
Astro Awani
Januari 12, 2023 15:36 MYT
Januari 12, 2023 15:36 MYT
KUALA LUMPUR : Kemerosotan sokongan orang-orang Melayu kepada UMNO perlu difahami dengan jelas dan betul, kata Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah.
Menurut beliau, orang Melayu sebetulnya marah dengan kepimpinan dalam UMNO di semua peringkat berikutan parti itu tidak mahu mendengar kata dan nasihat.
"Justeru, mereka (orang Melayu) sebenarnya menolak pemimpin UMNO dan bukannya menolak atau membenci parti. Itu dua perkara berbeza yang saya dan rakan-rakan lain perlu fahami," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau bertegas, pemulihan parti perlu dimulakan dengan melihat kembali diri masing-masing sebelum meneliti perkara lain.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa program Naratif Khas baru-baru ini, bahawa fenomena ‘gunting dalam lipatan’ dalam parti itu adalah punca utama penolakan besar-besaran bukan sahaja orang Melayu terhadap UMNO, tetapi oleh sebilangan besar tiga juta ahlinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Fenomena ‘gunting dalam lipatan’ inilah yang telah merosakkan perjuangan UMNO.
“Cuba kita renung kembali bagaimana fenomena ‘gunting dalam lipatan’ dalam banyak situasi telah memesong dan mengelirukan UMNO itu sendiri, bagaimana keputusan-keputusan yang telah diputuskan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO sebelum PRU15 telah dicabul dan dikhianati oleh fenomena ‘gunting dalam lipatan’.
"Keretakan dan perpecahan kesatuan dalam UMNO semenjak beberapa dekad yang lalu juga sangat terkait dengan fenomena ‘gunting dalam lipatan’.
“Perihal hasad-dengki, tamak-haloba, pecah amanah, khianat-mengkhianati sesama sendiri, adalah unsur-unsur yang mendukung dan menyokong kewujudkan fenomena ‘gunting dalam lipatan’ dalam UMNO itu sendiri," ujar beliau.
Namun, yang menghairankan, katanya, setiap kali UMNO berhadapan dengan fenomena ‘gunting dalam lipatan’ dan usaha-usaha untuk mengatasi fenomena tersebut cuba dianjurkan, ia kerap disinonimkan dengan ‘pengharaman pemilihan’ jawatan dalam UMNO khususnya jawatan diperingkat pucuk kepimpinan tertinggi.
"Wujud juak-juak atau suara-suara sumbang iaitu pendokong ‘gunting dalam lipatan’ yang menyarankan agar jawatan kepimpinan UMNO, khususnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden untuk tidak dipertandingkan.
"Saya berpandangan, saranan dan suara sebegini, adalah satu bentuk cadangan yang bersifat bermuka-muka dan juga saranan yang membawa rebah kepada UMNO itu sendiri," tegas beliau lagi.
Malah, kata Zakaria, saranan berkenaan akan menjauhkan lagi usaha-usaha untuk memulihkan imej UMNO dalam kalangan orang Melayu dan seterusnya menipiskan harapan meraih sokongan politik daripada mereka.
"Mengapa saya berkata demikian? Ini kerana secara jelasnya tidak ada perkaitan yang rasional untuk mengaitkan bahawa bagi menghapuskan fenomena ‘gunting dalam lipatan’, maka jawatan kepimpinan UMNO tidak perlu dipertandingkan;
"Saranan tersebut juga bakal merosakkan amalan dan prinsip demokrasi yang diamalkan sekian lama oleh UMNO. Kesuburan dan kerelevanan perjuangan UMNO selama ini adalah sangat rapat dengan prinsip demokrasi. Jika prinsip dan amalan demokrasi (pemilihan) dimatikan dalam UMNO pada saat yang genting ini, saya pasti ia bakal memberi isyarat yang sangat dangkal kepada anak-anak muda generasi kini terhadap organisasi UMNO itu sendiri," tambahnya.
Justeru, katanya, usaha untuk memulihkan kembali semangat dan harga diri perjuangan UMNO perlu dilakukan secara demokratik dan bukan secara ‘telunjuk lurus tetapi kelingking berkait’.