Orang Islam wajib sokong hudud - Gerakan
Astro Awani
Jun 10, 2014 21:45 MYT
Jun 10, 2014 21:45 MYT
Usaha PAS dan UMNO melaksanakan hukum hudud perlu disokong oleh rakyat beragama Islam, kata Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng.
The Malaysian Insider hari ini melaporkan, Liang bagaimanapun menegaskan partinya tetap dengan pendirian tidak menyokong undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga menggesa PAS dan UMNO untuk menyelesaikan isu teknikal hudud yang mencetuskan krisis Perlembagaan sebelum meneruskan hasrat mereka.
"Kami bukan anti Islam tetapi harus dikaji secara teknikal sama ada dua Rang Undang-Undang (RUU) jenayah dibenarkan di bawah satu perlembagaan," Liang dipetik sebagai berkata oleh Malaysian Insider.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu membuat kenyataan di lobi parlimen sebagai mengulas kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendesak MCA dan Gerakan supaya memastikan UMNO menolak hudud terlebih dahulu sebelum menyertai Kabinet.
Lim berkata, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tong Lai dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Kiong tidak sepatutnya menerima pelawaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyertai Kabinet selagi UMNO tidak memberi jaminan menghentikan usahanya meneruskan pelaksanaan hudud di peringkat negeri dan Persekutuan.