Orang India tak 'bodoh' - PM Najib
Nursyazwani Saiful Sham
April 7, 2018 15:12 MYT
April 7, 2018 15:12 MYT
Perdana Menteri menyifatkan masyarakat India tidak ‘bodoh’ untuk memilih atau mempercayai bekas pemimpin yang berusia 93 tahun bagi menyelesaikan masalah kaum itu.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesungguhan bekas pemimpin tersebut yang kini bersama pembangkang untuk membantu masyarakat India dilihat hanya satu permainan politik demi meraih undi.
“Dia (bekas perdana menteri) mempunyai tempoh 22 tahun memimpin untuk membantu masyarakat India. Tetapi (kenapa) baru sekarang cakap nak selesaikan dalam masa 100 hari (jika pembangkang ambil alih kerajaan).
“Saya rasa masyarakat India tak bodoh untuk percaya (apa yang dijanjikan). Ini kerana masyarakat India tahu kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menerajui kerajaan dan boleh menyelesaikan masalah mereka.
Tambah Najib, Kerajaan BN telah menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat India menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB).
Antaranya kata beliau, ialah sistem dokumentasi masyarakat India, kemasukan kaum India di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), penglibatan kaum India dalam perniagaan serta lain-lain lagi.
"Saya akan terus berjuang untuk masyarakat India kerana saya percaya tiada siapa yang harus ditinggalkan dalam pembangunan Malaysia. Kami mahu pembangunan yang adil dan saksama," katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Skim Pelaburan Khas Masyarakat India (SPKMI) B40, di pekarangan PPR Kerinchi, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tambahan 700 lagi penempatan pelajar India bagi programn matrikulasi.
Selain itu, Najib dalam ucapannya berkata, SPKMI B40 dilihat sebagai peluang untuk 100,000 isi rumah masyarakat India meningkatkan simpanan mereka di negara ini.
“Setiap ketua isi rumah akan ditawarkan pembiayaan tanpa faedah berjumlah RM 5,000 untuk tujuan melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia bagi tempoh lima tahun dengan peruntukan dana berjumlah 500 juta,” ujarnya.
#B40
#India
#isu semasa
#Malaysia Memilih
#Najib Razak
#pembangkang
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#PRU14