Onn Hafiz diminta bertanding Ketua Pemuda UMNO
Astro Awani
Februari 13, 2023 11:18 MYT
Februari 13, 2023 11:18 MYT
KUALA LUMPUR : Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi diminta bertanding merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bagi mengembalikan semula maruah parti itu.
Calon Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Syed Mohd. Syed Nasir menjelaskan, sebagai cicit kepada pengasas parti keramat orang Melayu itu, Onn Hafiz bukan asing selepas mula terlibat secara langsung dalam UMNO pada tahun 2013.
Katanya, Onn Hafiz pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sembrong pada 2013 hingga 2018 dan dalam masa sama memegang jawatan sebagai Exco Pemuda UMNO serta sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Tidak cukup dengan itu, Onn Hafiz kemudiannya diberikan tempat untuk menjawat jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam pada tahun 2018 sebelum menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Malah, dalam tempoh tersebut, apabila Barisan Nasional (BN) menerajui kepimpinan negeri Johor selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Onn Hafiz dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pelancongan Johor.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap turut dilihat sebagai seorang pemimpin yang semakin menyerlah apabila dilantik sebagai Menteri Besar Johor selepas BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti besar pada Mac 2022.
Media sebelum ini melaporkan, Onn Hafiz dikatakan mungkin menjadi calon baharu yang akan bertanding bagi merebut jawatan Ketua Pemuda dalam pemilihan Pemuda UMNO yang bakal berlangsung pada 11 Mac depan.
Ia susulan calon popular, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian parti selama enam tahun.
Setakat ini, dua individu telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti Mac depan, iaitu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Setiausaha Pemuda UMNO, Hasmuni Hassan.