Nur Jazlan sokong cadangan Ku Li agar pemimpin UMNO letak jawatan menteri dan timbalan menteri

Astro Awani
Ogos 29, 2020 18:01 MYT
Nur Jazlan berkata pemimpin-pemimpin dari UMNO perlu sedar kedudukan dan masa depan mereka ditentukan oleh ahli akar umbi yang sebenarnya marah dengan 'permainan politik' Bersatu. - Gambar Fail
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed tampil menyokong saranan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) agar menteri dan timbalan menteri parti itu meninggalkan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN),
Dalam satu kenyataan, Nur Jazlan berkata, cadangan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu tepat pada masanya disebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuka kemasukan kepada ahli bukan Melayu ke dalam parti itu.
Jelas bekas ahli parlimen Pulai itu, Bersatu melanggar prinsip asas penubuhan Muafakat Nasional (MN) iaitu muafakat parti Melayu-Islam.
"Jadi, menteri atau timbalan menteri dari UMNO perlu letak jawatan dan keluar dari kerajaan Perikatan.
"Cadangan penubuhan sayap bukan Melayu dalam Bersatu bertentangan sama sekali dengan konsep dan keharmonian MN, jadi buat apa ahli Parlimen UMNO nak duduk lagi dalam kerajaan PN," katanya.
BACA: Bersatu tidak layak sertai Pakatan Melayu, menteri UMNO wajar berundur - Ku Li
BACA: Muafakat Nasional untuk semua kaum, kata Ketua Penerangan UMNO kepada Ku Li
Nur Jazlan berkata pemimpin-pemimpin dari UMNO perlu sedar kedudukan dan masa depan mereka ditentukan oleh ahli akar umbi yang sebenarnya marah dengan 'permainan politik' Bersatu.
Jelas Nur Jazlan, jika Bersatu boleh mengubah haluan dan membuat beberapa langkah berlainan selepas seminggu bersetuju menyertai MN, apakah jaminan yang mereka tidak akan membuat "u-turn" lagi selepas ini.
Pada Jumaat, Tengku Razaleigh berkata tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam "pakatan Melayu-Islam yang didukung MN".
#Bersatu #Malaysia #Melayu #Muafakat Nasional #Nur Jazlan Mohamed #PAS #Perikatan Nasional #politik #Tengku Razaleigh Hamzah #UMNO
;