#Nothing2Hide: Najib terlepas peluang berharga - Tun Mahathir
Ashwad Ismail
Jun 5, 2015 21:24 MYT
Jun 5, 2015 21:24 MYT
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan program #Nothing2Hide 'Dialog PM Bersama NGO' merupakan medan terbaik untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meningkatkan sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.
Menurut Dr Mahathir, bukan sahaja masyarakat malah beliau sedia kembali menyokong Najib sekiranya perdana menteri berjaya memberi penjelasan terperinci mengenai apa yang berlaku terutama melibatkan 1MDB.
"Saya datang untuk mendengar penjelasannya. Saya berharap penjelasannya bagus dan saya akan kembali menyokongnya. Namun, beliau tidak datang dan memberi penjelasan, maka saya tidak dapat menyokongnya," kata Mahathir dalam sidang media selepas diarah menghentikan ucapan oleh pihak polis di pentas utama Dewan Tun Hussein Onn, PWTC.
Tambahnya, beliau turut merasa terkilan dengan tindakan Najib yang tidak hadir pada dialog tersebut.
Justeru itu, Dr Mahathir menegaskan beliau akan meneruskan usaha untuk menjelaskan kepada rakyat berhubung isu melibatkan 1MDB.
Medan dialog intelektual tersebut menjadi platform terbaik untuk Najib menjawab segala persoalan bukan sahaja mengenai 1MDB malah meliputi pelbagai isu semasa.