Noraini Idris dilantik Ketua Wanita UMNO Sabah
Sinar Harian
April 1, 2023 11:30 MYT
April 1, 2023 11:30 MYT
KOTA KINABALU: Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang, Datuk Noraini Idris dilantik sebagai Ketua Wanita UMNO Sabah yang baharu bagi sesi 2023-2026.
Pelantikan beliau diumumkan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Exco Wanita UMNO yang diadakan di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Turut diumumkan pelantikan tiga pegawai utama iaitu Datuk Rosni Sohar sebagai Setiausaha, Datin Maizatul Akmam Alawi sebagai Bendahari dan Datuk Rosni Zahari sebagai Ketua Penerangan.
Noraini berkata, pelantikannya sebagai Ketua Wanita UMNO Sabah datang sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar untuk dilaksanakan.
"Ia memerlukan sokongan daripada semua pihak terutamanya pimpinan Wanita UMNO di semua peringkat khsusnya di negeri ini.
"Saya faham tanggungjawab ini bukan mudah tetapi saya yakin jika ada semangat kerja berpasukan yang tinggi daripada kalangan pimpinan Wanita di semua peringkat kita akan pastikan Wanita UMNO akan kekal sebagai barisan hadapan parti yang akan memastikan kelangsungan perjuangan parti keramat ini berterusan dan mengembalikan kuasa yang dimiliki sebelum ini, " katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau turut berkata, amanah yang diberikan akan dilaksanakan sepenuhnya dengan kerjasama jentera Wanita UMNO Sabah dan beliau turut mengambil kira tempoh yang hanya tinggal beberapa tahun saja lagi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Terlalu banyak cabaran bakal dilalui bagi memastikan UMNO kekal relevan dan diterima oleh rakyat Sabah walaupun pelbagai persepsi negatif mula dimainkan oleh pihak tertentu di negeri ini," katanya.
Noraini memulakan perjalanan karier politiknya dengan menyertai UMNO Sabah pada 2001 dan merupakan pemimpin dalam Puteri UMNO Sabah selepas dilantik sebagai Setiausaha.
Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Puteri UMNO Penampang pada 2004 dan terpilih sebagai Exco Puteri UMNO.
Selepas itu, Noraini terpilih sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang dan juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Sabah.
Pada 9 Disember 2021, beliau telah dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai Senator Dewan Negara. -Sinar Harian