Noraini atasi Shahrizat, pertahan jawatan Ketua Wanita UMNO
Afiezy Azaman
Mac 12, 2023 11:30 MYT
Mac 12, 2023 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Noraini Ahmad mempertahan jawatan Ketua Wanita UMNO dalam saingan pemilihan sayap menewaskan pencabarnya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Dalam reaksi pertamanya selepas berjaya mempertahankan jawatan itu, Noraini mengajak seluruh jentera untuk meneruskan memperkasakan wanita ke tahap yang lebih tinggi.
"Alhamdulillah. Segala puji hanya bagi Allah SWT.
"Terima kasih yang tidak terhingga kepada Wanita UMNO di seluruh negara serta sahabat #SusahSenangBersama di atas sokongan dan kepercayaan kepada saya.
"Ayuhlah, bersama kita meneruskan pemerkasaan Wanita untuk ke tahap lebih tinggi menjadi realiti!," katanya dalam satu muat naik di Facebook, pada Ahad.
Shahrizat, 70, yang bersara daripada politik selepas 11 tahun menerajui Wanita UMNO pada 2018 kembali ke gelanggang selepas mendakwa mendapat permintaan daripada kalangan pemimpin akar umbi.
Keputusan rasmi pemilihan itu dijangka akan diumum Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad setelah selesai proses perkiraan undi dan penelitian dijalankan.
Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.