Noh yang sebenarnya kaki bodek - Isham
Sinar Harian
Mei 2, 2023 17:01 MYT
Mei 2, 2023 17:01 MYT
SHAH ALAM: Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil membidas kenyataan bekas pemimpin parti itu, Tan Sri Noh Omar yang mendakwa UMNO kini hanya tinggal kaki bodek, kalah dalam pemilihan ketua bahagian dan cawangan.
Isham mendakwa, sebaliknya individu yang disebut sebagai kaki bodek itu ialah Noh sendiri kerana sanggup membodek untuk mendapatkan jawatan menteri sebelum ini.
"Noh ada perasaan iri hati dan tak baik pada UMNO sebab dia baru dipecat. Setahu saya yang kaki bodek adalah Noh Omar.
"Dulu seingat saya semasa dia (Noh Omar) ingin jadi menteri, dia bodek Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sampai saya pun dia bodek, masa itu saya bekerja di Pejabat Perdana Menteri.
"Kini hanya beberapa bulan selepas dia minta dipecat daripada UMNO dia sudah mula kutuk dan caci UMNO umpama kacang lupakan kulit. Hanya kerana dia ingin bertanding pilihan raya lawan UMNO," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada Selasa, Noh mendakwa UMNO kini hanya ditunjangi oleh kaki bodek dalam parti itu yang tewas dalam pemilihan parti.
Dengan memetik nama dua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dan Datuk Lokman Noor Adam yang tewas dalam pemilihan bahagian, Noh berkata, bagaimana pemimpin tersebut boleh bercakap mengenai suara akar umbi.
Mengulas lanjut, Isham mengingatkan Noh bahawa UMNO banyak memberi jasa kepada dirinya selama ini.
Sementara itu, Isham memperjelaskan beliau bukan kalah dalam pemilihan bahagian namun tidak boleh bertanding di bahagian pemilihan kali ini kerana baru bertukar bahagian UMNO.
"Ikut perlembagaan UMNO apabila saya tukar bahagian dalam tahun tersebut saya tak boleh bertanding.
"Sebelum ni saya di bahagian UMNO Sungai Buloh dan tukar bahagian ke UMNO Putrajaya pada bulan Februari lepas. Jadi saya tak boleh bertanding apa-apa jawatan dalam bahagian pada tahun ini," jelasnya. -- Sinar Harian