Noh tidak jawab persoalan saya - Izham
Sinar Harian
September 4, 2022 11:10 MYT
September 4, 2022 11:10 MYT
SHAH ALAM: Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim menyifatkan komen Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar tidak menjawab persoalan terhadap isu yang dibangkitkan beliau.
Izham berkata, isu yang beliau kemukakan adalah besar dan penting, melibatkan prinsip pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang yang merupakan tunjang pembinaan sebuah negara bangsa yang bermaruah.
Menurutnya, kenyataan pemimpin UMNO yang tanpa segan silu mahu mencampuri urusan badan kehakiman dan sistem perundangan negara dengan desakan untuk memecat atau menyingkirkan sesiapa yang tidak mengikut telunjuk mereka adalah memalukan lantas tidak berintegriti.
"Ia dilakukan di depan khalayak ramai tanpa berselindung dan disebarkan oleh media secara meluas. Soalan saya mudah. Apakah pemimpin UMNO fikir negara ini milik peribadi mereka?
"Inilah soalan yang gagal dijawab dengan matang oleh Noh Omar," kata Izham dalam satu kenyataan di laman Twitter miliknya sebagai respon kenyataan Noh yang menyifatkan beliau tidak matang dan tiada adab.
Pada Rabu, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu menyifatkan Izham sebagai tidak matang dan tiada adab apabila mendakwa negara ini seperti milik UMNO untuk sewenang-wenangnya memecat sesiapa.
Noh dilaporkan berkata, tindakan Izham umpama menuding jari kepada diri sendiri apabila mempersoalkan tindakan UMNO mengamalkan aturan dan saluran betul menerusi perbincangan berbanding Pakatan Harapan (PH) yang gemar membuat demonstrasi jalanan.
“Yang kena (hukuman penjara) itu adalah Datuk Seri Najib dan jika ia kena kepada pemimpin PH, negara akan menjadi kecoh. Ini bezanya kerana kita (UMNO) tidak berdemonstrasi jalan dan melanggar undang-undang namun duduk berbincang di dalam satu dewan,” katanya selepas merasmikan Himpunan Silat Warisan Bangsa Anak Muda Merdeka pada Rabu malam.
Pada Isnin, Izham menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya menyifatkan UMNO tidak ubah seperti parti yang mengalami ‘kerosakan’ berterusan umpama negara ini tiada undang-undang dan peraturan.
Terdahulu, media melaporkan UMNO dipercayai memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya antaranya memecat Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Dakwaan menyatakan Ismail Sabri akan dipecat jika enggan berbuat demikian bagaimanapun dinafikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyifatkan ia palsu dan fitnah. - Sinar Harian