Noh kecam tindakan Nga Kor Ming muat naik gambar tidak hormati Islam
Bernama
Julai 8, 2016 21:47 MYT
Julai 8, 2016 21:47 MYT
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar mengecam tindakan Anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming memuat naik gambar ucapan Aidilfitri di akaun Facebook miliknya yang berlatar belakangkan rumah api dan bendera Amerika Syarikat Selasa lepas.
Noh berkata tindakan biadap itu bukan sahaja tidak menghormati kesucian agama Islam malah menunjukkan pemimpin DAP itu tidak mempunyai semangat patriotik.
"Meletakkan bendera Amerika yang kita sedia maklum tidak senang dengan kebangkitan sesetengah negara Islam menunjukkan Nga Kor Ming tiada semangat patriotik.
"Nampaknya beliau lebih mengagungkan negara lain daripada negara sendiri," katanya.
Anggota Parlimen Tanjung Karang itu bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sambutan rumah terbuka bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baharu Datuk Hamdi Abu Bakar di sini, hari ini.
Gambar ucapan itu dimuat naik pada pukul 11.30 malam raya dengan tulisan: In God We Trust, video Aidilfitri: We serve to bless others, we are from the people, by the people & for the people. Selamat Hari Raya! Turut disertakan sekali link video https://youtu.be/MPn.KtEkxYg.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng menyifatkan tindakan Nga itu sebagai tidak sensitif dan tidak peka dengan budaya serta amalan rakyat Malaysia.