Nizar Najib nafi cuba jatuhkan Kerajaan Pahang

Bernama
Julai 23, 2024 08:10 MYT
Mohamad Nizar berkata beliau sama sekali tidak akan mengkhianati kerajaan negeri diterajui Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
KUANTAN: Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau cuba menjatuhkan Kerajaan Pahang menerusi perjumpaan dengan pemimpin pembangkang.

Ringkasan AI
  • Datuk Mohamad Nizar Najib menafikan dakwaan cuba menjatuhkan Kerajaan Pahang melalui perjumpaan dengan pemimpin pembangkang dan menegaskan kesetiaan kepada Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
  • Beliau menegaskan tidak akan mengkhianati kerajaan negeri dan menekankan pesan ayahandanya, Datuk Seri Najib Razak, untuk sentiasa setia kepada parti walau dalam apa keadaan sekalipun.
  • Mohamad Nizar menolak tuduhan sebagai 'katak politik' dan menegaskan kesetiaannya kepada UMNO Barisan Nasional serta kerajaan negeri yang ada sekarang, sambil meminta supaya fitnah politik dihentikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu berkata beliau sama sekali tidak akan mengkhianati kerajaan negeri diterajui Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
"Beliau (Wan Rosdy) juga telah banyak membantu pengundi saya di kawasan Peramu Jaya (Pekan).
"Seorang pemimpin yang baik hati dan mudah didekati, mana mungkin saya seorang Exco dan ADUN tergamak untuk mengkhianati beliau sebagai seorang pemimpin dan kepercayaan yang beliau berikan.
"Ayahanda Datuk Seri Najib Razak selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita supaya setia kepada parti.
"Mana mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga perjuangkan bersama-sama orang UMNO yang lain sejak ia ditubuhkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Nizar menegaskan beliau bukan seorang 'katak politik' yang sanggup menggadai prinsip dan maruah serta menjual diri kepada mana-mana pembida yang tinggi.
"Cukup-cukuplah sebarkan fitnah untuk keuntungan politik murahan. Mesejnya jelas, saya kekal setia bersama UMNO Barisan Nasional dan kerajaan negeri yang ada sekarang," katanya.
Tular di media sosial dakwaan Mohamad Nizar mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pembangkang Pahang untuk menjatuhkan kerajaan negeri.
-- BERNAMA
#Nizar Najib #Kerajaan negeri Pahang #kerjasama dengan pas #anak Najib