Nizam ganti Wetrom sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah

Abdul Hafiz Mustadi
Oktober 26, 2022 15:37 MYT
Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengambil alih kekosongan jawatan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang ditinggalkan Datuk Wetrom Bahanda. - Facebook / NizamAbTitingan
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ditukarkan jawatan sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri selepas penyandang sebelumnya, Datuk Wetrom Bahanda bertindak meninggalkan parti kerajaan.
Pertukaran tersebut diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Rabu.
Menggantikan Nizam sebagai Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
"Tempat Wetrom akan digantikan Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan manakala jawatan Nizam akan diisi oleh Datuk Julita Majungki, yang sebelum ini adalah Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah", menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan dilantik sebagai pembantu menteri di Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan.
Menurut Hajiji, perlantikan Fairuz telah diperkenankan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin selain berkata majlis angkat sumpah akan ditentukan oleh pihak istana negeri.
Menggantikan Fairuz sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, ADUN Kukusan, Rina Jainal yang sebelum ini keluar daripada Parti Warisan dan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) pada 5 Jun.
#Sabah #Datuk Nizam Abu Bakar Titingan #Datuk Wetrom Bahanda
;