Nik Omar, Nik Abduh tidak bertegur sapa?

Sinar Harian
Mei 9, 2018 13:05 MYT
Nik Abduh yang merupakan calon Pas bagi kerusi Parlimen Bachok tiba di pusat pengundian sama ketika wartawan sedang menemu bual Nik Omar di luar pekarangan pusat mengundi tersebut. - Gambar fail
Dua anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar dan Nik Abduh dilihat tidak bertegur sapa ketika mengundi di Dun Panchor, Sekolah Kebangsaan Raja Sakti, Kota Jembal, hari ini.
Nik Omar tiba seawal jam 7.30 pagi dan merupakan pengundi pertama mengundi bagi saluran dua sebelum seorang lagi anak Allahyarham, Nik Adli tiba pada jam 8 pagi disusuli Nik Abduh pada jam 8.17 pagi juga mengundi di saluran dua.
Ibu mereka, Tuan Sabariah Tuan Ishak dilihat keluar dari pusat mengundi sama selepas selesai mengundi pada jam 8.50 pagi.
Nik Omar ketika diminta wartawan untuk merakam gambar bersalaman dengan dua adiknya itu, beliau hanya menolak sambil tersenyum.
“Nanti lepas ini boleh lagi (bersama dan bergambar),” katanya.
Nik Abduh yang merupakan calon Pas bagi kerusi Parlimen Bachok tiba di pusat pengundian sama ketika wartawan sedang menemu bual Nik Omar di luar pekarangan pusat mengundi tersebut.
Ketika sekali lagi diminta untuk menunggu adiknya bagi merakamkan gambar mereka berdua, Nik Omar menolak kerana perlu bergegas ke tempat lain.
“Nanti lepas ini boleh lagi (bergambar), banyak tempat perlu saya pergi hari ini (melawat pusat pengundian lain, lorat (perlu bergegas),” katanya.
Calon Pakatan Harapan Dun Chempaka yang juga Pengetua Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka itu juga tidak bertemu Tuan Sabariah.
Dalam pada itu, Nik Omar berkata, dia boleh bertemu bondanya pada bila-bila masa dan PRU14 bukan medan untuk berbalah-balah.
“Bonda ini setiap masa boleh bertemu tiada masalah, cuma hari ini sibuk sikit.
“Alhamdulillah hari ini bermulanya proses pengundian untuk PRU14, moga hari ini beroleh keberkatan semua calon ada keyakinan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Nik Abduh berkata, beliau belum bertemu dan berhubung dengan abangnya sejak proses penamaan calon pada 28 April lalu.
“Ustaz Nik Omar seorang yang taat dengan bonda, ini (bertanding tiket PKR) adalah perkara pertama yang dilakukannya tidak mendapat persetujuan daripada bonda,” katanya.
#Malaysia Memilih #nik abduh #Nik Abdul Aziz Nik Mat #Nik Omar #Pakatan Harapan #Parlimen #PAS #Pilihan Raya Umum ke-14 #PRU14 #Tuan Sabariah Tuan Ishak
;