Nik Nazmi nafi pegawainya disiasat SPRM

Bernama
Mei 13, 2023 11:10 MYT
Nik Nazmi turut menyangkal dakwaan bahawa telah memecat pegawainya kerana terpalit dengan isu rasuah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini menafikan dakwaan kononnya pegawai beliau telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan kes rasuah.
Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa telah memecat pegawainya kerana terpalit dengan isu rasuah.
"Setakat ini, tiada pegawai saya yang telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak SPRM," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, jika terdapat sebarang siasatan, Nik Nazmi menegaskan beliau dan mana-mana pegawainya bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Semalam, portal Edisi Siasat mendakwa Nik Nazmi dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah memecat pegawai masing-masing kerana dipanggil SPRM untuk membantu siasatan rasuah.
-- BERNAMA
#SPRM #Nik Nazmi Nik Ahmad #pegawai disiasat #Fahmi Fadzil