Nik Nazmi berdepan undi tak percaya?
Hafiz Marzukhi
November 26, 2015 09:01 MYT
November 26, 2015 09:01 MYT
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nasional Nik Nazmi Nik Ahmad mungkin berhadapan cabaran terhadap kepimpinannya melalui usul undi tidak percaya dalam Kongres PKR peringkat nasional pada hujung minggu ini.
Menurut sumber, salah satu cabang AMK di Kedah telah memfailkan borang bagi membawa perkara tersebut untuk dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Usul.
"Belum tentu lagi sama ada akan dimasukkan," jawab sumber tersebut ringkas apabila ditanya kemungkinan usul tersebut dibawa ke peringkat kongres.
Dinyatakan dalam borang usul tersebut bahawa Nik Nazmi yang telah dipilih dilihat tidak berkemampuan untuk menerajui AMK pusat.
"Manifesto yang dibawa beliau sewaktu pemilihan lepas langsung tidak dilihat pelaksanaannya.
"Oleh itu, saya mengusulkan lebih baik saudara Ketua AMK Malaysia berundur secara terhormat andai tidak mampu memikul tanggungjawab sebagai Ketua AMK Malaysia," kata pencadang usul Mohamad Ashraf Jamil.
Usul tersebut disokong Tan Saw Keong.
Berdasarkan borang usul yang diperolehi Astro AWANI, usul tersebut dipercayai difailkan melalui Cabang Baling.
Nik Nazmi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia telah memenangi jawatan Ketua AMK Pusat pada Ogos 2014.
Bekas Timbalan Speaker DUN Selangor tersebut menewaskan pencabar terdekatnya ketika itu iaitu, ADUN Batu Caves Amirudin Shari.
Kini, beliau adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor bagi Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi.