Nga Kor Ming pertaruh nasib di Teluk Intan

Harits Asyraf Hasnan
April 16, 2018 22:33 MYT
Pencalonan Kor Ming diumumkan Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. - Gambar fail
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan bagi kerusi P.076 Teluk Intan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Perkara tersebut diumumkan Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Pelancaran Pusat Operasi dan Ceramah Pakatan Harapan Pusat Komuniti DAP Teluk Intan di sini hari ini.
Beliau dijangka menentang Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong serta calon daripada Pas.
Beliau mengakui bukan mudah untuk DAP kembali memenangi kerusi Teluk Intan, namun beliau yang sanggup mempertaruhkan karier politiknya yakin dengan kuasa rakyat.
“Saya sanggup berkorban demi rakyat kerana saya percaya kuasa adalah dalam tangan rakyat. Suara rakyat suara keramat.
“Saya bukan sahaja mempertaruhkan karier politik saya. Jika saya kalah, saya akan hilang segala-galanya tetapi jika ingin bawa perubahan, inilah masanya.
“Seperti yang saya selalu tegaskan, jika bukan kita, siapa lagi?” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman itu.
Pada PRU13 lalu, DAP memenangi kesemua tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN yang ditandinginya di Perak, tetapi kemudiannya kalah di Teluk Intan dengan majoriti tipis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014 selepas Ahli Parlimennya, Seah Leong Peng meninggal dunia pada 1 Mei 2014.
Dalam PRK itu, Mah mengalahkan Dyana Sofya Mohd Daud dengan hanya 238 majoriti undi.
Terdapat dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pasir Bedamar yang disandang oleh Terence Naidu (DAP) dengan majoriti 13,037 dan Changkat Jong yang disandang oleh Mohd Azhar Jamaluddin (BN) dengan majoriti 1,118 undi.
#Barisan Nasional #DAP #MalaysiaMemilih #Nga Kor Ming #Pakatan Harapan #politik #Teluk Intan
;