Nga Kor Ming kekal sebagai Pengerusi DAP Perak

Aida Aziz
Mac 14, 2021 21:11 MYT
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan memperoleh 1,228 undi. - Foto Astro AWANI
IPOH: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Timbalan Pengerusi, V Sivakumar mengekalkan jawatan masing-masing pada pemilihan Jawatankuasa DAP Perak, di sini pada Ahad.
Keputusan itu diputuskan secara sebulat suara oleh 15 ahli jawatankuasa (AJK) yang baharu dipilih pada pemilihan tersebut.
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan memperoleh 1,228 undi, manakala Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah memperoleh 1,228 undi.
Turut mengekalkan jawatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari yang berjaya memperoleh undi 1,224 dan ADUN Sungkai A Sivanesan dengan undi 1,223.
Masing-masing kekal dengan jawatan Naib Pengerusi.
Dalam pada itu, AJK juga sebulat suara memilih Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh untuk mengekalkan jawatannya sebagai Setiausaha DAP Perak, manakala Penolong Setiausahanya, Ong Boon Piow.
Jawatan Bendahari pula disandang oleh Howard Lee Chuan How dan Penolong Bendahari, Dr Ko Chung Sen.
Sementara itu, turut dipilih sebagai AJK ialah Wong May Ing, Cheah Pou Hian, manakala bagi AJK Lantikan pula adalah Woo Kar Leong, Ong Seng Guan, Teoh Yee Cherng, Nga Hock Cheh dan Jenny Choy Tsi Jen.
Terdahulu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berucap menyempurnakan Konvensyen Biasa DAP negeri Perak di Ipoh.
Yang turut hadir Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan pimpinan parti DAP Perak.
Konvensyen itu dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan ahli DAP seluruh negeri.
Antara urusan rasmi pada konvensyen itu ialah memilih 15 Ahli Jawatankuasa Negeri, pembentangan dan penerimaan akaun penyata kewangan, selain penerimaan usul-usul atau pengisytiharan dikemukakan jawatankuasa negeri.
#Nga Kor Ming #Pengerusi DAP Perak #DAP #timbalan pengerusi #V Sivakumar #Ahli Parlimen Teluk Intan #Ahli Parlimen Batu Gajah
;