SEREMBAN: Negeri Sembilan boleh menjadi negeri model terbaik untuk menguatkan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sekiranya ia berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, kedua-dua parti politik itu mempunyai kekuatan masing-masing dalam memastikan negeri itu kekal diperintah.

"Kerana kalau di Negeri Sembilan dominannya ialah PH dan UMNO, jadi salah satu negeri (menjadi) medan menguji bentuk kerjasama dengan UMNO.

"Yang saya rasa kalau berjaya dirundingkan dan diadakan dengan baik, ia menjadi model menguatkan kerjasama Kerajaan Perpaduan," katanya.

Tambah Rafizi, Negeri Sembilan juga dilihat sebagai negeri bukan kritikal untuk berdepan PRN.

Malah, beliau menjangkakan sebarang rundingan kerjasama lebih mudah dilakukan dengan kepimpinan UMNO dan PH di negeri itu.

"Pilihan raya Negeri Sembilan walaupun pada data awal kita ada bukan berada (dalam) keadaan kritikal berbanding Kedah dan Pulau Pinang di sebahagian tempatnya.

"Negeri Sembilan ini nampak lebih selesa, tapi juga strategi walaupun bukan soal pengaruh Perikatan Nasional (PN), tapi untuk kita perhalusi dan uji bentuk kerjasama dengan UMNO.

"Pandangan saya yang telah terlibat dengan banyak rundingan, saya rasakan perkara itu agak mudah diselesaikan (di Negeri Sembilan), sebab itu saya sampaikan kepada jentera PKR, oleh kerana Negeri Sembilan ini aman, jangan kita ambil mudah.

"Tapi saya tak nampak akan ada isu terlalu besar dalam memuktamadkan dan memperhalusi kerjasama dalam PRN," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Konvensyen Pilihan Raya PKR Negeri Sembilan di Seremban pada malam Ahad.

Turut hadir, Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.