Negara perlu lebih ramai wanita dalam bidang politik - ADUN KKB
Farhan Hakimi
Mac 3, 2025 06:40 MYT
Mac 3, 2025 06:40 MYT
Menurut Sock Tao, penyertaan wanita dalam politik bukan sekadar soal keadilan gender, tetapi juga penting dalam membawa perspektif yang lebih inklusif dalam perbincangan dan mesyuarat sesebuah parti. - Gamnbar Instagram
KUALA LUMPUR: Negara memerlukan lebih ramai wanita melibatkan diri dalam gelanggang politik bagi memastikan suara serta kepentingan mereka diwakili secara lebih menyeluruh dalam proses pentadbiran dan pembuatan dasar.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao, penyertaan wanita dalam politik bukan sekadar soal keadilan gender, tetapi juga penting dalam membawa perspektif yang lebih inklusif dalam perbincangan dan mesyuarat sesebuah parti.
"Saya menganggap penyertaan wanita dalam bidang politik masih berada dalam keadaan 'stagnant' (tiada kemajuan).
"Jika kita lihat di Parlimen, golongan wanita hanya mewakili 13.5 peratus daripada keseluruhan Ahli Parlimen.
"Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pula, hanya sembilan daripada 56 kerusi diwakili oleh wanita.
"Peratusan ini jelas tidak mencukupi dan saya percaya masih ada ruang untuk penambahbaikan dan saya anggap kita kena ada polisi dalam parti untuk angkat suara perempuan untuk memastikan lebih ramai wanita diberi peluang bertanding dalam kerusi DUN, Parlimen atau jawatan penting dalam parti," katanya.
Sock Tao berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI selepas menjadi ahli panel untuk forum bertajuk ‘Media Coverage Of Women In Politics, Gendered-Disinformation, Harmful Narratives, Online-GBV Against Women Political Leaders’ di ibu negara, malam tadi.
Sementara itu, Pengarah Negara bagi Westminster Foundation for Democracy (WFD) di Malaysia, Ooi Kok Hin berpendapat, perwakilan wanita dalam politik memerlukan inisiatif yang lebih konkrit dan bukan hanya bersifat retorik semata-mata.
"Sebagai contoh, satu rang undang-undang mungkin boleh diperkenalkan, bukan hanya di peringkat parti, tetapi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
"Ini dengan menetapkan perwakilan wanita sekurang-kurangnya 30 peratus, seperti yang diamalkan di beberapa negara lain.
"Inisiatif ini adalah langkah yang progresif untuk Malaysia," ujarnya.
Forum anjuran portal berita dalam talian, Malaysiakini dan Westminster Foundation for Democracy (WFD) itu membincangkan bagaimana pemimpin wanita dalam politik dipaparkan oleh media tradisional dan digital serta kesan terhadap kerjaya mereka.
Antara lain, forum itu juga meneliti impak keganasan berasaskan gender dalam talian, online Gender-Based-Violence (GBV) dengan menyoroti implikasi psikologi, profesional, dan demokrasi terhadap mereka akibat gangguan yang dialami secara maya.