Nazri tegur Muhyiddin jangan cabar kepimpinan tertinggi
Astro Awani
Februari 21, 2016 23:32 MYT
Februari 21, 2016 23:32 MYT
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu, sebaliknya menunggu keputusan hasil mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang dijadualkan Jumaat ini.
Nasihat itu yang disuarakan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung kenyataan Muhyiddin terhadap Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor agar tidak mengambil tindakan ke atasnya melainkan mempunyai bukti yang cukup.
Nazri percaya, kepimpinan tertinggi UMNO tidak akan mengambil tindakan sewenang-wenangnya terhadap mana-mana ahli tanpa bukti kukuh.
Ujarnya, sebagai Timbalan Presiden, Muhyiddin sepatutnya tahu peranan yang harus dimainkannya di dalam parti.
“Dia Timbalan Presiden, saya minta dia pergi baca balik dalam Perlembagaan UMNO. Suruh dia lihat tentang peranan yang patut dimainkan oleh Timbalan Presiden. Kalau di dalam Perlembagaan itu kata, kerja dia ialah untuk mengutuk Presiden, untuk mengeji Presiden, untuk hentam Presiden, saya ingat dia betullah. Sebab apa yang dia lakukan sebelum ini mengikut Perlembagaan itulah.
“Tapi kalau Perlembagaan mengatakan peranan seorang Timbalan Presiden ialah untuk membantu Presiden, saya rasa tak payah tanya orang tak faham undang-undang. (Semua) akan tahu bahawa dia telah melakukan suatu kesalahan. Walau apapun kita tunggulah mesyuarat Majlis Tertinggi nanti, pada Jumaat,” ujar Nazri.
Muhyiddin sebelum ini dilapor mengingatkan Majlis Tertinggi parti itu supaya jangan sekali-kali berani untuk mengambil tindakan terhadap beliau jika tidak mempunyai bukti.
Ia susulan ucapannya di Kampung Baru pada 7 Disember yang dilaporkan akan dirujuk ke Lembaga Disiplin Parti dan Majlis Tertinggi.