Nazri tarik sokongan terhadap Muhyiddin, dakwa Kerajaan PN sudah tiada majoriti

Firdaus Azil
Januari 12, 2021 14:05 MYT
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz secara rasmi hari ini mengumumkan beliau menarik balik sokongan ke atas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam satu sidang media khas hari ini, bekas Menteri Hal Ehwal Parlimen itu berkata, penarikan sokongan itu, Kerajaan Perikatan Nasional hanya mempunyai 109 sokongan Ahli Dewan Rakyat, sekali gus menyaksikan ia telah hilang majoriti yang diperlukan.
Mohamed Nazri merupakan Ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional ketiga membuat tindakan demikian selepas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, dan Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
“Saya pada hari ini saya nak mengumumkan Saya Mohamed Nazri Bin Abdul Aziz, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, merangkap Ahli Parlimen UMNO Barisan Nasional Kawasan Padang Rengas, dengan ini dan dengan rasminya, saya menarik sokongan yang diberikan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk membentuk kerajaan sedia ada.
“Keputusan ini satu keputusan yang telah saya fikir lama, dan saya membuat keputusan ini ialah kerana inilah yang terbaik untuk parti saya,” katanya lagi.
Mohamed Nazri berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan mandat yang diberikan oleh UMNO Bahagian Padang Rengas, dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO kepadanya.
Nazri Aziz tarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Selain itu, beliau berkata, dua tiga Ahli Parlimen dari parti itu akan membuat keputusan yang sama dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, tindakan Proklamasi Darurat oleh Perikatan Nasional menunjukkan ia adalah satu tindakan mengaku kalah, atau 'admission of defeat' oleh Perdana Menteri, yang dakwanya lagi telah jelas hilang sokongan yang diperlukan.
"Saya ingat, kalau Tan Sri Muhyiddin mengumumkan iaitu bahawa beliau minta dan dipersetujui oleh Agong untuk diadakan Emergency, bagi saya ini adalah admission of defeat oleh Tan Sri Muhyiddin sendiri yang mana dia mengaku bahawa sudah tidak ada majoriti.
"Sebab kita tengok, apabila sudah tidak ada majoriti, dia kena buat pilihan raya. Tapi kita semua tahu macam mana nak buat pilihan raya kalau COVID-19 sedang melanda kita. Saya samakan situasi ini dengan PRK batu sapi, PRK Gerik dan lagi satu PRN Sabah," katanya lagi.
Nazri Aziz dakwa kerajaan hari ini sudah runtuh
Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, usul yang dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi mengenai memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Muhyiddin apabila tiba waktunya untuk PRu nanti, sudah menjadi pendirian parti.
Jelasnya lagi, tindakan membawa usul ke peringkat Perhimpunan Agung UMNO hanyalah sebagai tindakan rasmi sahaja.
Selain itu, beliau berkata, mengenai pandangan dan tindakan segelintir Menteri dari UMNO yang dikatakan tidak selari dengan aspirasi parti, Mohamed Nazri berkata, mereka meletak kepentingan peribadi lebih dari kepentingan parti.
“Inilah yang menjadi masalah kepada kita sebab mereka tidak ikut parti. Saya faham dan saya tidak pernah kacau mereka pun ,saya jadi Menteri juga dulu, jadi seronok jadi Menteri ini.
“129 lebih yang bahagian yang tak mahu dengan PPBM. Jadi jelas dan nampak bahawa ada Menteri ada Timbalan Menteri yang enggan sebab mereka akan kehilangan gaji. Banyak juga tu," katanya lagi.
#Muhyiddin Yassin #Perikatan Nasional #Proklamasi Darurat #UMNO #Al-Sultan Abdullah #Ahli Parlimen Padang Rengas #admission of defeat #Pilihan Raya Negeri Sabah #PRN Sabah #Politik Malaysia
;