Nazri juga punca BN kalah pada PRU14 - Tengku Putra
Astro Awani
Julai 11, 2019 19:05 MYT
Julai 11, 2019 19:05 MYT
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz disaran turut mengambil tanggungjawab di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas kerana menjadi punca kemarahan berjuta umat Islam negara ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat menegaskan, keputusan Ahli Parlimen Padang Rengas itu di kementeriannya sebelum ini mengenai isu umrah menjadi antara faktor kejatuhan BN sebagai kerajaan tahun lalu.
"Suka kita mengingatkan kepada Nazri bahawa enam bulan sebelum PRU14, kementeriannya yang meluluskan syarikat untuk mengenakan caj sebanyak RM90.10 seorang terhadap lebih dari 20 juta umat Islam Malaysia yang mungkin berhajat untuk menunaikan umrah.
"Ia bukan keputusan Kabinet di bawah Datuk Seri Najib Razak dan menimbulkan kemarahan rakyat yang beragama Islam terhadap kerajaan BN yang mempunyai jutaan pengundi.
"Difahamkan, Kabinet juga tidak memutuskan tentang kelulusannya walaupun kononnya ia telah dibentangkan dahulu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Kabinet pada kerajaan terdahulu dilaporkan tidak dimaklumkan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) dikendalikan syarikat swasta, dipilih bagi menangani unsur penipuan dalam tawaran pakej umrah.
Tegas Tengku Putra, Najib sendiri pada masa itu terperanjat ketika berada di luar negara apabila keputusan itu diumumkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
"Najib sendiri tidak setuju sama sekali untuk membebankan umat Islam lebih-lebih lagi rakyat yang berhajat untuk mengerjakan ibadah umrah jesteru terus mengarahkan supaya ianya dibatalkan dengan serta merta," jelasnya.
Tambahnya, siasatan juga mungkin perlu dibuat untuk menyiasat siapa individu di belakang syarikat yang mendapat kontrak yang hendak membebankan umat Islam ketika.
"Siasat juga apa hubungan mereka dengan Nazri sebelumnya. Mereka juga turut bertanggungjawab kerana mencuba hendak mengambil untung di atas ibadah orang Islam yang menyebabkan orang Melayu menolak UMNO dan BN pada PRU lepas," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan kata Tengku Putra, pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN tidak harus dipertikaikan kerana dibuat dengan sahih dalam mesyuarat BN.
"Pelantikan jawatan Setiausaha Agung BN Nazri yang tidak sah pula hanya dibuat di media sahaja walau perlucutan jawatannya dibuat dengan tertib dengan pelantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di tempat sama.
"Nilai sumbangan Najib kepada UMNO dan BN walaupun dalam keadaan keluar masuk mahkamah saban hari jauh kepada parti lebih tinggi berbanding Nazri," tegasnya.
Mohamed Nazri sebelum ini menyifatkan, pelantikan Najib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BN sebagai langkah ke belakang.
#ADUN
#Islam
#kabinet
#mahkamah
#Melayu
#Najib Razak
#Nazri Aziz
#Parlimen
#pelancongan
#PRU14
#Tengku Adnan
#umrah