Nazri bawa usul gantung jawatan Muhyiddin ke mesyuarat MT UMNO

Israr Khalid
Februari 25, 2016 17:18 MYT
NAZRI: Sebagai timbalan presiden parti, Muhyiddin sepatutnya membantu dan menyokong Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Gambar fail
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memaklumkan beliau akan membawa usul mencadangkan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung daripada jawatan timbalan presiden UMNO dalam mesyuarat Majlis Tertinggi esok.
Jelas Nazri, cadangan membawa usul itu dibuat kerana Muhyiddin didapati telah melanggar beberapa peraturan parti dan perlu dikenakan tindakan disiplin.
Menurut Nazri, sebagai timbalan presiden parti, Muhyiddin sepatutnya membantu dan menyokong Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila Muhyiddin begitu lantang mempersoalkan kepimpinan Najib.
"Dia menunjukkan contoh yang tidak baik, bukan sahaja mengkritik tetapi menghasut supaya mempertikaikan presiden.
"Jadi saya syorkan supaya dia digantung. Lepas dia sudah tidak berjawatan, dia nak buat apa saja, buatlah," katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran program Istana Budaya 2016 di Lambang Sari, Istana Budaya.
Menurut Nazri, keputusan membawa usul tersebut ke Majlis Tertinggi diambil sekarang kerana Muhyiddin sudah melampau.
Ia termasuk tindakannya menganjurkan perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur sehari sebelum Perhimpunan Agung UMNO 2016 dan perjumpaan dengan beberapa ketua cawangan UMNO di Port Dickson, Negeri Sembilan tempoh hari yang disifatkan Nazri sebagai tidak wajar.
"Pada mulanya dahulu, kita ingatkan teguran dia ikhlas dan atas prinsip kebebasan bersuara kita benarkan dia bercakap.
"Tetapi dia semakin lantang bercakap terutamanya mengenai kes 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang kita jangkakan pembangkang bangkitkan isu ini tetapi sebaliknya,'' katanya.
Muhyiddin juga katanya, terus mempertikaikan keputusan Peguam Negara yang memutuskan kes berkenaan ditutup.
Sementara itu mengulas kenyataan Timbalan Ketua UMNO Pagoh, Ismail Mohamed yang menyatakan Nazri perlu menghormati Muhyiddin sebagai timbalan presiden, Nazri menjelaskan bahawa Muhyiddin perlu menghormati Najib sebagai presiden terlebih dahulu.
"Kalau kita nak orang hormat kita, kita perlu hormat orang dulu.
"Jadi sebelum dia kritik saya, baiklah dia kritik ketua bahagian dia dulu," jawabnya.
Ismail pada Selasa menyatakan bahawa Nazri 'suka menyodok membabi buta' dan tidak perlu dilayan berhubung kenyataan Nazri yang sebelum itu mengatakan Muhyiddin 'seperti anjing yang menggigit kaki' sehingga menyukarkan parti melaksanakan tanggungjawabnya.
Bagaimanapun Nazri 'memuji' sikap Ismail yang dilihat berusaha mempertahankan ketuanya dan menasihati Muhyiddin untuk 'mencontohi' anak buahnya itu.
"Walaupun dia tidak begitu berkualiti dan mampu bidas kenyataan saya, dia sebagai timbalan ketua bahagian berusaha untuk menyokong ketuanya. Muhyiddin perlu banyak belajar dengan dia," katanya.
#majlis tertinggi #Mohamed Nazri Abdul Aziz #Muhyiddin Yassin #Najib Razak #UMNO
;