Nazri Aziz ibarat 'hantu raya' cari tuan baharu - Penganalisis politik

Sinar Harian
September 21, 2018 12:24 MYT
Nazri Abdul Aziz kini diibaratkan seperti 'hantu raya' mencari tuan selepas mengeluarkan kenyataan demi kenyataan bagi mewakili hasratnya berkenaan penyatuan UMNO bersama PKR. -Gambar fail
Bekas menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz kini diibaratkan seperti 'hantu raya' mencari tuan selepas mengeluarkan kenyataan demi kenyataan bagi mewakili hasratnya berkenaan penyatuan UMNO bersama PKR.
Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata kenyataan yang dibuat Nazri sebelum ini iaitu masa depan UMNO kini bergantung kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah merupakan kenyataan bersifat terdesak.
Menurutnya, kenyataan berkenaan juga begitu tidak manis dikeluarkan berikutan UMNO yang mempunyai 2 juta ahli masih lagi mempunyai pemimpin yang berkebolehan dalam memulihkan serta merefomasikan parti.
“Dia (Nazri) sebenarnya nak mencari tuan baru… hantu raya cari tuan baharu… tuannya yang lama dah mati… dia kacau Tun Mahathir (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) tak laku, dia kacau Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) tak laku dan kini dia kacau Anwar.
“Ini sebenarnya kenyataan terdesak sebab dalam UMNO sekarang ni kelam kabut. Apa pun masa depan UMNO sebenarnya hanyalah bergantung kepada ahli dan pemimpin UMNO yang masih ada,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad Atory berkata sepatutnya ahli UMNO harus mencontohi kesetiaan peminat pasukan bola seperti Manchester United, Liverpool dan lain-lain lagi yang kekal setia walaupun pasukan yang diminati tewas dalam perlawanan.
Menurutnya, peminat berkenaan tidak “merayau” mencari pasukan lain tetap tetap taat serta setia dengan kelab bola pilihan masing-masing.
“Dalam parti juga begitu, walaupun tak salah nak lompat sana, lompat sini (merujuk kepada ahli Majlis Tertinggi UMNO keluar parti) tapi tak baguslah… kita nak memperkuatkan parti masing-masing.
“Sepatutnya ahli dan pemimpin UMNO harus muhasabah diri, memperbetulkan keadaan, masalah sebelum ini. Kita mengalu-alukan UMNO yang kuat supaya Umno akan menjadi parti pembangkang yang sihat,” tegasnya.
Menurutnya, UMNO seharusnya tidak cepat melatah serta belajar dari apa yang berlaku kepada parti lain di luar negara seperti Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun dan Parti Kongres India yang sebelum ini ditolak rakyat, namun kembali meraih kepercayaan rakyat.
“Saya ramalkan jika UMNO betul-betul muhasabah diri, memperbetulkan kesilapan dan kesalahan sebelum ini, Umno akan dilihat lebih bersih dana akan mendapat tempat kembali di hati masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, memetik laporan portal MalaysiaKini, Nazri menyatakan nasib UMNO kini di tangan Anwar selepas Dr Mahathir enggan bekerjasama dengan parti UMNO.
Nazri berkata UMNO yang kini diterajui Ahmad Zahid tidak mempunyai hala tuju selepas kekalahan pada pilihanraya umum yang lalu.
#Anwar Ibrahim #hantu raya #Mahathir Mohamad #nazri abdul aziz #PKR #UMNO #Zahid Hamidi
;