Nasihat Wan Rosdy kepada ahli UMNO: “Ikhlas sertai parti, buang sikap pentingkan diri”

Astro Awani
Mei 12, 2024 10:30 MYT
Semua ahli yang menyertai UMNO perlu ikhlas dalam memperjuangkan dasar parti, bukan dengan niat mengejar jawatan atau dipilih sebagai calon semata-mata, tegas Wan Rosdy. - Gambar fail
KUANTAN: Semua ahli yang menyertai UMNO perlu ikhlas dalam memperjuangkan dasar parti, bukan dengan niat mengejar jawatan atau dipilih sebagai calon semata-mata.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sikap pentingkan diri inilah yang menjadi masalah dalaman parti dan andai dibiarkan boleh merosakkan keutuhan UMNO dan menyebabkan parti kehilangan pengaruh.
Menurut beliau, rasa kecewa tidak terpilih adalah perkara biasa dalam perjuangan politik tetapi jika ada percubaan untuk merosakkan parti kerana kekecewaan, ini adalah merugikan parti UMNO itu sendiri.
Wan Rosdy menegaskan, semua ahli UMNO perlu bersatu-padu dan mengutamakan kepentingan parti dan rakyat di atas kepentingan peribadi.
"Tetapi kalau masuk parti sebab ingin jadi wakil rakyat dan sebagainya ini tidak baik, kerana kalau tidak dipilih dia akan rasa kecewa.
“Kita dapati bahawa setakat kecewa tidak mengapa, tetapi cuba mensabotaj parti dan sebagainya… ini merugikan parti jadi sebab itu saya ingatkan supaya kita masuk parti ini adalah berjuang untuk bangsa kita, agama dan negara.
“Itu tujuan (utama) kita sebab melalui parti ada platform, ada organisasi dan parti ini perlu kuat bila kita kuat baru kita disegani dihormati," jelas Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang itu lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-78 Peringkat Negeri Pahang, di sini, pada Sabtu.
Wan Rosdy menegaskan, tindakan mensabotaj umpama membunuh sesama sendiri dan jika UMNO ingin benar-benar kuat, ahli perlu sisihkan kepentingan diri dan kembali menjadi orang parti.
Dalam masa sama, beliau dengan pendekatan ini, UMNO pasti akan bangkit semula dan menjadi lebih kuat daripada sebelumnya.
Wan Rosdy turut menekankan bahawa UMNO kini tidak boleh bersikap defensif tetapi perlu bersikap ofensif dalam perjuangan politik.
Ini kerana, jelas beliau, UMNO satu-satunya parti yang memperjuangkan hak orang Melayu, agama, bangsa, dan negara, sambil tidak mengabaikan kaum-kaum lain.
#UMNO #ahli UMNO #pentingkan diri #Wan Rosdy Wan Ismail
;