Nasib Khalid mungkin ditentukan sebelum Aidilfitri

Irwan Muhammad Zain
Julai 14, 2014 08:00 MYT
Mustafa (tiga, kiri) bersama kepimpinan Majlis Presiden Pakatan Rakyat di sidang media di ibu pejabat PKR tadi. - Astro AWANI
Nasib Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dijangka akan ditentukan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, Majlis Presiden Pakatan Rakyat berkemungkinan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.
"Saya menjangkakan isu mengenai menteri besar Selangor akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dijangka akan diadakan sebelum Hari Raya nanti.
"Majlis Presiden akan memuktamadkan mengenai isu ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.
Mustafa juga menegaskan mesyuarat Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang pendirian mengenai krisis politik di Selangor.
"Kita tak bincang mengenai isu ini, kita serah ke peringkat lebih tinggi.
"Kami (Majlis Setiausaha) tidak boleh buat pendirian berasingan," katanya.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib Presiden DAP, Teresa Kok.
Desas-desus pertukaran menteri besar Selangor kedengaran sekali lagi sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan terdapat maklumat palsu yang mengaitkan kononnya pihak Istana Selangor memperkenan Abdul Khalid melepaskan jawatan yang disandangnya itu.
#Khalid Ibrahim #Menteri Besar #Mustafa Ali #Pakatan Rakyat #Selangor