Nasib Isham Jalil tumpuan Mesyuarat MKT UMNO malam ini?
Ridauddin Daud
Disember 6, 2023 20:48 MYT
Disember 6, 2023 20:48 MYT
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sekali lagi menjadi tumpuan pada Rabu malam.
Mesyuarat dijadual bermula jam 8.30 malam itu bakal membincangkan beberapa isu melibatkan parti tersebut.
Difahamkan, antara perkara bakal disentuh ialah prestasi parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember lepas.
Selain itu, isu melibatkan Ahli MKT UMNO, Isham Jalil juga dikatakan menjadi antara topik perbincangan dalam mesyuarat pada malam ini.
Sejak dari jam 8 malam tadi, beberapa pemimpin UMNO dilihat tiba di lobi Menara Dato’ Onn.
Antaranya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil .
Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka membuat beberapa keputusan.
Nama Isham pantas dikaitkan dengan mesyuarat pada malam ini susulan kenyataan Ahmad Zahid yang mengharapkan Isham mempunyai keberanian untuk menghadiri Mesyuarat MKT malam ini, selepas tiga kali tidak menghadirinya.
Begitupun, Isham bertegas tidak akan menghadiri mesyuarat MKT malam ini sebagai tindakan protes kepada kepimpinan parti itu.
Isham bertegas kekal dengan pendirian itu selagi Ahmad Zahid masih kekal dengan pendirian menyertai pilihan raya bersama DAP.
Katanya, sebagai Ahli MKT bagi penggal kedua, beliau dapat membaca apa yang akan dilakukan Ahmad Zahid ketika mempengerusikan mesyuarat parti itu dan veto keputusan yang dibuat.