Nasib Adhif Syan dibincang dalam Mesyuarat MT BERSATU esok
Rahimah Abdullah
Januari 16, 2020 11:54 MYT
Januari 16, 2020 11:54 MYT
Majlis Tertinggi Bersatu akan bermesyuarat esok bagi membincangkan isu Ketua Armada Selangor, Adhif Syan Abdullah yang ditahan polis dalam satu serbuan baru-baru ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan mesyuarat akan dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“(Perkara) itu nanti kita akan bincang. Mesyuarat MT esok kita akan bincang perkara itu. Jadi tunggu sahajalah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, pada Khamis.
Beliau mengulas mengenai kedudukan Ketua Armada Selangor itu susulan penahanannya bersama 16 individu lain dalam serbuan polis di sebuah kondominium di Jalan Puchong, baru-baru ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya siasatan kes melibatkan ADUN Dengkil itu kepada pihak polis.
“Itu kita serah kepada polis. Pada masa sama, jabatan kimia akan memberi laporan (ujian air kencing). Itu perkara biasa tetapi ini (seperti) jadi luar biasa,” tambahnya.
Ketika ini, katanya, sebarang tindakan parti perlu dilakukan mengikut peraturan parti.
Justeru, Adhif Syan belum diambil apa-apa tindakan selagi beliau belum didapati melakukan kesalahan.
“Memang kita ada garis panduan dari segi etika dan disiplin parti tetapi apa-apa pun kita mesti berlaku adil kerana seseorang itu tidak bersalah sehingga setelah dijatuhkan hukuman.
“Namun dari segi imej dan disiplin parti itu kita akan putuskan esok,” kata Muhyiddin.
#Adhif Syan Abdullah
#Ketua Armada Selangor
#Mahathir Mohamad
#Majlis Perhimpunan Bulanan
#Muhyiddin Yassin
#serbuan