Nasharudin nafi perbincangan penubuhan kerajaan UMNO-Pas pernah diadakan

Mariah Ahmad
November 23, 2015 18:12 MYT
NASHARUDIN: Pertemuan saya ini sudah lama berlaku dan ianya mengenai perbincangan yang berkaitan dengan maslahat politik. - Foto Astro AWANI
Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Nasharudin Mat Isa menafikan Pas pernah mengadakan perbincangan dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha untuk membentuk kerajaan dengan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, pertemuan yang diadakan pada tahun 2009 hanya merupakan perbincangan yang membabitkan isu kepentingan negara dan tidak melibatkan mana-mana individu.
"Pertemuan bersama pimpinan tertinggi parti merupakan perkara biasa. Tiada apa yang perlu disorokkan. Pertemuan itu adalah untuk kebaikan negara, bukan kepentingan peribadi mana-mana individu.
"Bagi saya (pertemuan) itu, bukanlah satu isu yang perlu dijadikan bahan untuk menjadikan seseorang itu popular.
"Ianya keputusan parti dan merupakan perbincangan demi maslahat (kebaikan). Pertemuan saya ini sudah lama berlaku dan ianya mengenai perbincangan yang berkaitan dengan maslahat politik. Pembentukan kerajaan perpaduan tiada dalam agenda," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelancaran buku 'The Middle Path of Moderation in Islam' oleh penulis, Profesor Mohammad Hashim Kamali yang dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Persidangan International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) di Petaling Jaya, Selangor.
Sebelum ini, bekas naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mendakwa presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi pernah mempunyai niat membentuk kerajaan dengan BN.
Bagaimanapun, Husam mendakwa hasrat itu gagal kerana ia tidak mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadlian Rakyat (PKR) Selangor.
Husam turut mendakwa, anggota parti Pas pernah ditawarkan tempat dalam kabinet BN.
Beliau turut berkata, Nasharuddin pernah mengadakan pertemuan dengan Tun Abdullah dan dalam pertemuan itu Pas didakwa telah ditawarkan tiga jawatan menteri dan tiga jawatan timbalan menteri.
#BN #Husam Musa #Kerajaan Perpaduan #Nasharudin Mat Isa #PAS #Tun Abdullah Ahmad Badawi #UMNO
;