Naratif Islam terancam berjaya tarik undi orang Melayu - Mat Sabu
Astro Awani
Disember 24, 2023 17:36 MYT
Disember 24, 2023 17:36 MYT
KLANG: Naratif Islam terancam dan kedudukan orang Melayu tidak terjamin jika memilih Pakatan Harapan (PH) menyebabkan beberapa pemimpin utama parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Malah Mohamad menegaskan, naratif itu juga menyebabkan ada beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) tewas di kawasan sendiri.
Dalam ucapan penggulungan di Konvensyen Nasional Amanah kali ke-8, beliau menyamakan momokan Islam terancam yang dimainkan oleh lawan politik PH dengan cerita hantu.
"Ini akibat daripada slogan yang dimainkan Islam terancam, kedudukan Melayu tidak terjamin, persepsi diterima oleh orang Melayu termasuk di kawasan intelektual.
"Ini kita kena rungkai dimana terancamnya Melayu di mana terancamnya Islam, ini sama seperti cerita kata bawah pokok ada hantu, macam mana nak buktikan? naik bulu roma padahal tak ada hantu pun.
"Ini yang kita lihat rakyat diperangkap dengan islam terancam dan kedudukan Melayu tak terjamin," katanya.
Dalam ucapannya juga, Mohamad menegaskan beliau yakin sekiranya kerjasama yang diwujudkan dalam parti-parti yang membentuk kerajaan hari ini dapat dikekalkan, Kerajaan Perpaduan akan terus memerintah selepas PRU16 nanti.
Mohamad menjelaskan kekuatan yang ada dalam semua parti akan membantu menguatkan gabungan Kerajaan Perpaduan berdepan PRU16.
Beliau menjelaskan, kemenangan di beberapa pilihan raya kecil membuktikan kerjasama dan perpaduan yang diwujudkan dapat memberi kemenangan kepada calon dari Kerajaan Perpaduan.
"Ini pengajaran kepada kita, kita ada lagi hampir empat tahun dalam kerjasama ini, saya yakin kalau kita perpaduan elok berjalan dengan baik, pilihan raya ke-16 nanti, insya-Allah Kerajaan Perpaduan kembali memerintah dengan lebih bergaya," katanya lagi.