Nanta serah kepada pucuk pimpinan PBB tentukan permohonan Willie Mongin

Syafik Shukri Jalil
Julai 6, 2022 18:53 MYT
Nanta yakin status permohonan Willie Mongin untuk menyertai PBB akan dapat diselesaikan oleh pucuk pimpinan parti. FOTO Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menerima atau menolak permohonan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) wajar diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
Setiausaha Agung PBB, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, beliau mengakui kekuatan sokongan pengundi terhadap Willie yang berjaya merampas kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Namun, sensitiviti penyokong dan akar umbi PBB di kawasan tersebut juga perlu dihormati.
‘’Saya setuju dengan pandangan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (Naib Presiden PBB) kerana dengan alasan yang samalah.
“Jadi oleh kerana Datuk Willie Mongin dah memohon untuk menyertai PBB, jadi keadaan di lapangan di kawasan itu kita faham juga cuma kita perlu ambil kira sensitiviti penyokong asal PBB di sana.
‘’Tapi saya yakin ini akan dapat kita selesaikan dan setakat ini biarlah saya menunggu keputusan pucuk pimpinan tidak lain tidak bukan YAB sendiri (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) bersama timbalan-timbalan, Yang Di Pertua parti dan mereka yang terlibatlah untuk membuat keputusan,’’ katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.
BACA: Willie Mongin sahkan mohon jadi ahli parti komponen GPS
BACA: Abang Jo enggan jawab mengenai permohonan Willie Mongin sertai PBB
BACA: Manyin 'sentap' Willie mohon masuk PBB
Willie Mongin sebelum ini mengesahkan permohonannya untuk menyertai PBB dan sedang menunggu maklum balas daripada pucuk pimpinan parti itu.
Bagaimanapun pengakuannya itu menimbulkan reaksi bercampur baur pemimpin PBB.
Bagi Abdul Karim, PBB tidak patut mengenepikan permohonannya begitu sahaja kerana kemenangan Willie pada PRU14 dengan majoriti lebih 4,000 undi menunjukkan prestasinya di mata rakyat.
Namun, bekas Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Michael Manyin mempersoalkan kredibiliti Willie Mongin yang pernah memburuk-burukkan PBB ketika berkempen dalam PRU14 lalu.
#Willie Mongin #Gabungan Parti Sarawak #Parti Pesaka Bumiputera Bersatu #Alexander Nanta Linggi
;