Nak buat macam mana, orang Kelantan nampak hijau saja - Anwar Ibrahim

Madiha Abdullah
September 16, 2018 16:15 MYT
Anwar menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan Pakatan Harapan menganaktirikan negeri Kelantan. -Gambar fail
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan Pakatan Harapan menganaktirikan negeri Kelantan.
Kata Anwar, tanggungjawab parti pemerintah adalah membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik.
"Fokus saya sekarang adalah mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan. Bagi orang nampak bahawa kita di sini berkhidmat untuk rakyat.
"Nak buat macam mana, orang Kelantan hanya nampak warna hijau? Tapi harapnya, dengan khidmat yang kita berikan, mereka akan nampak warna kita pula," kata Anwar.
Anwar menjawab soalan berkenaan dasar yang dirancang untuk rakyat Kelantan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, dalam sesi Dialog Bersama Anak Muda di Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Anwar lagi, soal dasar sepatutnya tidak menjadi isu kerana dasar yang dipegang beliau adalah dasar yang sama dengan Parti Pakatan.
"Dasar PH itulah dasar saya. Dasar PH itu dasar Tun Mahathir juga," ujarnya.
Sesi dialog anjuran Anwar Ibrahim Club selama dua jam itu dihadiri kira-kira 900 peserta, dan turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon popular Zahirah MacWilson.
Sebelum sesi dialog itu, Anwar telah melancarkan buku tulisan Dr Syed Husin Ali, berjudul A People's History of Malaysia.
#A People's History of Malaysia #Anwar Ibrahim #Dialog Bersama Anak Muda #fahaman politik #Kelantan #Mahathir Mohamad #orang kelantan #Pakatan Harapan #PKR #Syed Husin Ali #Zahirah MacWilson
;