'Nak ambil parti, ambillah... time to move on' - Syed Saddiq
Umavathi Ramayah
Julai 7, 2020 00:24 MYT
Julai 7, 2020 00:24 MYT
"Time to move on." Itu kata-kata bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam catatan terbaharunya di Twitter itu beliau berkata, apabila perkhidmatannya tidak lagi diperlukan dalam Bersatu dan Armada, maka sudah tiba masanya untuk beliau pergi.
"Kalau nak ambil parti, ambillah. Kalau nak buang nombor keahlian saya, buanglah. Saya tidak akan melengah-lengahkan usaha tuan-tuan sekalian.
"Saya juga akan menarik semula saman sivil terhadap kes pemecatan keahlian saya dalam Bersatu," katanya dalam kenyataan yang dilampirkan bersama dalam pautan berkenaan.
Hari ini Armada menerusi satu kenyataan turut mengumumkan pelantikan Naib Ketua Armada Mohd Aizad Roslan bagi menerajui sayap pemuda Bersatu itu susulan pengguguran keahlian Syed Saddiq pada 28 Mei lalu.
Mengulas lanjut Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar memberitahu, parti politik adalah 'kenderaan' untuk menjaga negara dan rakyat, bukan untuk kepentingan individu dan mencapai kemewahan.
"Saya faham jalan ini bukan senang... Mereka yang sama haluan juga akan terima nasib yang sama, diugut kiri kanan, disingkirkan jawatan dan dibuang jauh-jauh," katanya.
Meskipun begitu, katanya hubungan yang dibina ketika dalam Armada tidak akan terputus.
"Kalau tanya saya, saya merasa rendah diri. Pengalaman dan pengetahuan yang saya raih dalam Armada besar nilainya," tambahnya.